Skip to content

Bajet PM @NajibRazak ‘muruku’ pengalas perut 2017…sila sekarang banding dgn Bajet 2017 Negeri Selangor MB @AzminAli …hehe.

November 1, 2016

Bajet Najib ‘muruku’ pengalas perut 2017

Ya, menteri kewangan berjaya merumuskan belanjawan 2017 dengan ‘cemerlang’. Syabas!

Pastinya hampir seluruh segmen rakyat diberikan peruntukan bagi menyuntik rasa sedap. Tidak ada yang dipinggirkan. Datuk Seri Najib Razak berjaya mencetuskan faktor rasa enak (the feel-good factor).

Tetapi selama mana rakyat boleh lega dan rasa sedap dan enak itu? Selama ada makanan itu dalam mulut sebagai ‘alas perut’. Persis tetamu diberikan hidangan muruku ketika bertandang di rumah rakan menyambut perayaan Deepavali.

Tak sedapkah muruku ini? Sedap. Tetapi kalau sampai ke malam tetamu masih menguyah muruku, tentunya pelik dan ada yang tidak kena.

Nah, kami nobatkan Belanjawaan 2017 ini sebagai Bajet Muruku Najib Razak! Tulisan ini bertanggungjawab meyakinkan anda akan ketepatan keputusan kami.

Buat permulaan, berikut adalah peringatan fakta anggaran perbelanjaan dan sedikit komentar awal tentang perihal itu.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan yang diperakukan bagi 2017 berjumlah RM262,800 juta. Perbelanjaan mengurus sebanyak RM214,800 juta sementara perbelanjaan pembangunan disediakan peruntukan sebanyak RM48,000 juta atau 18.3 peratus.

Daripada peruntukan pembangunan ini, hanya RM25.9 bilion sahaja untuk sektor ekonomi, manakala selebihnya untuk sektor sosial, keselamatan dan pentadbiran am.

Kaedah mengurangkan peruntukan pembangunan sememang menjadi tabiat Najib. Peruntukan untuk memacu pembangunan ekonomi khasnya – sejak beliau mengambil alih negara – sengaja secara diluar bajet (off-budget spending).

Hutang-hutang itu tidak dikira atau tidak nampak dalam penyata kewangan (balance sheet) sebagai aset dan hutang sebagai liabiliti. Dengan kata lain hutang-hutangnya ‘tersembunyi’. Maka kewangan negara (atau syarikat) nampak sihat (heatlhy).

Tema terpanjang sejak merdeka

Laporan Ketua Audit Negara pada 2012 contohnya menggemparkan rakyat yang faham kewangan, kerana tiba-tiba nama PFI Sdn Bhd – anak syarikat milik kerajaan – berhutang sebanyak RM28 bilion.

Tabiat berbelanja diluar kawalan pemantauan parlimen ini jugalah – antara lain, pada hemat saya – menatijahkan fenomena skandal supermega 1MDB.

Maka defisit fiskal nisbah KDNK seolah-olah terus turun daripada 3.8 peratus pada 2013 kepada 3.4 peratus pada 2014 dan 3.2 peratus pada 2015.

Untuk 2016, kerajaan mengharapkan defisit fiskal akan dapat diturunkan ke paras 3.1 peratus KDNK dan 3.0 peratus untuk 2017.

Hakikatnya pastinya tidak begitu.

Penelitian Laporan Ekonomi 2016/2017 yang diterbitkan kementerian kewangan akan menemukakan kita dengan fakta bahawa syarikat awam bukan kewangan (SABK) yang terdiri daripada 29 syarikat-kaitan berkaitan kerajaan (GLC) seumpama Indah Water Konsortium, KTM Bhd, Telekom Malaysia, Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airport Holdings, Prasarana, Syarikat Perumahan Negara, Tenaga Nasional, MRT Co, UEM Group dan banyak lagi, juga berhutang dengan jumlah yang besar.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa SABK ini masih punya hutang berbaki sebanyak RM50,472 juta (atau RM50.5 bilion). Pembayaran hutang (debt services) kerajaan pusat pula dilaporkan dalam bajet pada paras RM28.8 bilion setahun untuk 2017.

Itu tidak termasuk hutang RM20 bilion, juga ditanggung kerajaan akibat angkara rompakan ke atas 1MDB.

Tema belanjawan Najib – andainya anda terlupa kerana seronok menguyah ‘muruku’ – ialah “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh”. Tahniah Najib! Tema belanjawaan paling panjang sejak merdeka.

Seandainya penulis diminta mengulas belanjawan Najib tentang perihal seluruh ‘pemberian muruku atau gula-gula’ ini kepada semua segmen rakyat nescaya habis ruang penulisan ini. Tentu tidak besar menafaatnya. Cukup secara kritis dan secara selektif. Kita mulakan.

Kita jawab dulu sama ada ini belanjawan pilihan raya atau tidak, sebab ada yang mendakwa ia tidak mungkin kerana peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya RM48.6 juta saja.

Anggaran tak realistik

SPR diperuntukkan RM150.6 juta pada 2016, antara lainnya untuk menjalankan pilihan raya negeri Sarawak. Pada Bajet 2013, SPR mendapat peruntukan mega RM461.6 juta untuk mengurus pilihan raya umum (PRU) ke-13. Jadi bagaimana?

Komentar saya, tanggapan seperti ini punya risiko. Ini mungkin langkah Najib secara taktikal untuk decoy (tipu) pembangkang. Pada bila-bila masa Najib boleh membentangkan Anggaran Perbelanjaan Tambahan’ (Supplementary Budget) kalau beliau sudah cukup yakin mampu menang pada tahun depan. Hati-hati dan jangan terleka.

Perumusan Bajet 2017 ini dan ditambah dengan cara Najib membentangkannya berjaya melupakan rakyat akan kedudukan ekonomi negara sebenarnya.

Pendapatan negara terus menurun sejak 2015 iaitu daripada RM235.2 bilion kepada anggaran RM225.7 bilion pada 2016. Bajet 2017 menganggarkan pendapatan itu turun lagi kepada RM219.7 bilion. Anggaran angka itu pun tidak realistik.

Sementara itu pendapatan hasil cukai pendapatan petroleum (PITA) menurun daripada RM11.6 bilion pada 2015 kepada RM8.5 bilion. Apakah asas jangkaan Najib bahawa ramalan pendapatan daripada PITA akan meningkat ke tahap RM10.6 bilion?

Begitu juga kedudukan cukai pendapatan korporat (CITA) yang dijangkakan akan meningkat ketika Putrajaya tahu kadar pertumbuhan negara tidak begitu memberangsangkan. Ramalan untuk mendapatkan RM69.2 bilion – sekali lagi – agak tinggi. Pihak korporat hanya mampu menjana RM63.2 bilion pada 2016 ini.

Pun begitu ramalan untuk mendapatkan pungutan dari cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk 2017 akan melonjak ke paras RM40 bilion daripada RM38.5 bilion pada 2016. Apa asas Najib menjangkakan rakyat akan berbelanja besar? Adakah sebab diberi BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia)?

Persoalan besar buat kami ialah keengganan Najib berterus terang tentang kedudukan sebenar ekonomi, atau dengan kata lain, dia buat pekak saja.

Denyut nadi masyarakat

Kembali kepada topik asal. Persoalan besar yang perlu dijawab Najib ialah sejauh mana Bajet 2017 mampu merungkaikan permasalahan rakyat.

Sememang dijangkakan BRIM akan dinaikkan. Tetapi penambahan 54 sen sehari untuk kelompok penerima BRIM bergadi di bawah RM3000 sebulan, apakah dapat membantu mereka menangani kos sara hidup sedangkan gaji mereka tidak naik berkadar dengan inflasi?

Memetik kajian orang awam (NST, 22 Okt 2016) Pengurus perhubungan raya, Melinda Ambrose, 30, menyatakan kenaikan RM200 tidak bemakna bagi mereka yang layak menerima BRIM sebab ia tidak banyak membantu perbelanjaan seharian apabila kos sara hidup telah meningkat.

“Apa yang kami perlukan ialah mengurangkan kadar tol dan perkhidmatan nurseri percuma supaya ibu-ibu mampu berkerja,” katanya.

Nah, kerajaan patut tahu denyut nadi rakyat.

Kalau asalnya hanya golongan Bottom-40 (B-40), tetapi sekarang Putrajaya bermurah hati melanjutkan BRIM kepada golongan Middle-40 (M-40).

BRIM tidak wajar dijadikan program jangka jauh. Takut-takut Malaysia akan segera menjadi ikon BRIM-Economy dalam liga negara-negara maju sedikit waktu lagi!

Apa sebenarnya yang mahu dicapai Bajet 2017? Kalaulah seperti yang selalu didakwa Putrajaya bahawa kaedah perumusan belanjawan digunakan mereka ialah Outcome-Based Budgeting (Bajet Berdasarkan Natijah-Keputusan) maka apakah outcome yang mahu dicapai?

Apakah peningkatan hutang 3 sektor – korporat, isi rumah dan kerajaan? Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebenarnya dipacu hutang (debt-based growth) melalui debt-based consumption (perbelanjaan berhutang). Pertumbuhan dipacu permintaan domestik dengan berhutang besar. Itu model yang tidak mapan. Pertumbuhan mesti dipacu produktiviti.

Lebih khusus lagi, sejauh manakah Bajet 2017 – sebagai alat fiskal jangka pendek, berbanding dengan program pembangunan sederhana tengah dan jangka panjang (seumpama RMK) – mampu mengatasi beberapa persoalan besar seperti penekanan terhadap penjanaan pekerjaan (employment) yang memberi regim upah lebih tinggi? Apakah memadai dengan selama-lamanya menjadi pemandu Uber saja buat kelompok B-40 bahkan M-40?

Ya, sejauh manakah Bajet 2017 ini diyakini dapat membantu meningkatkan tahap produktiviti pekerja di negara ini sekaligus memberi peluang pekerjaan dan ruang untuk menjana pendapatan dan upah yang lebih tinggi? Ini yang dituntut Gen-Y dan semua rakyat. Seramai 60,000 orang diberhentikan kerja mutakhir ini dan ada 200,000 graduan menganggur.

Untuk peringatan, Najib mengakui dalam ucapannya, hanya 2.1 juta daripada 14.6 juta warga kerja (atau 14 peratus) yang mampu atau perlu membayar cukai pendapatan. Itu membuktikan hakikat kedudukan tahap gaji atau wage regime adalah rendah di negara ini. Sepatutnya juga asas pemilikan rumah mesti bersandarkan pendapatan yang munasabah (decent).

Dengan demikian barulah akan terlaksana “pemilikan yang berhemah”. Bukan dengan cara meningkatkan kelayakan pinjaman penjawat awam berhutang dan pengenalan pelbagai skim rumah mampu milik! Kita bimbang takut-takut hanya mampu tengok! Sekali lagi, asas dan dasarnya ialah ‘pendapatan yang bermaruah’ – a decent income – dengan izin.

Sememangnya diakui pelbagai peruntukan dirumus bagi meningkatkan pusat vokasional, politeknik dan pembangunan ketrampilan teknikal (TVET) untuk keperluan industri. Namun potongan peruntukan hampir 20 peratus kepada 20 institusi pengajian tinggi awam dalam belanjawan pengurusan perbelanjaan pasti akan menjejaskan prestasi pusat-pusat pengajian tinggi awam negara yang baru memasukki radar ranking dunia.

Potongan dana penyelidikan adalah tidak wajar kalau outcome-based budgeting meletakkan kepentingan melahirkan kreativiti dan inovasi sebagai kunci dalam merancakkan kegiatan ekonomi berteraskan pengetahuan. Peruntukan RM300 juta yang dikongsikan bersama lima universiti penyelidikan tidak memberi keutamaan yang sewajarnya. Jangan sedap pada retorik sahaja.

Sementara itu, amat mustahak memperteguhkan institusi-institusi kritikal bagi menyemakkan imbang ketempangan semua pihak termasuk penguasa politik atau parti pemerintah dan pihak birokrat.

Cerita little Napolean semakin menjadi-jadi. Songlap RM114 juta dana Jabatan Air Sabah adalah salah satu contoh mutakhir. Sudah jadi budaya perihal songlap dan rompakan seperti ini.

Apakah preskripsi dan peruntukan Bajet 2017 untuk mendepani gejala ini secara konkrit dan serius? Langsung tidak disinggung. Umum amat fahami kedudukan menteri kewangan.

Namun, untuk Najib kekal dalam penafian bahkan meletakkan kesalahan kepada pembangkang kesan rosaknya persepsi masyarakat pelabur antarabangsa adalah paling tidak sopan dan tidak bermoral.

Agar Belanjawaan 2017 tidak menjadi sekadar ‘Bajet Muruku’ untuk mengalas perut, amat mustahak untuk semua pihak menggembleng tenaga memainkan peranan menjaga maruah dan keutuhan kedaulatan tanah air tercinta ini. Memerangi apa jua jenis kezaliman dan kemungkaran, termasuk di bidang kemungkaran ekonomi dan memajukan tadbir urus kewangan adalah tangungjawab bersama.


DR DZULKEFLY AHMAD pengarah strategi Parti Amanah Negara.

Bajet muruku Najib, enak sampai bila?

October 27, 2016
 

Persoalan besar buat kami ialah keengganan Najib berterus terang mengenai kedudukan ekonomi sebenar atau dengan kata lain, dia buat pekak sahaja.

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad (FMT)

dzulkifly-ahmad

Menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak berjaya merumuskan “bajet pilihan raya” dengan cemerlang. Syabas!

Pastinya hampir seluruh segmen rakyat diberikan peruntukan bagi menyuntik rasa sedap. Tidak ada yang dipinggirkan. Perdana menteri berjaya mencetuskan “rasa enak” atau “feel-good factor”…….…Baca seterusnya..

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: