Skip to content

Jika dasar berjalan lancar, ekuiti bumiputera 50% sekarang, kata pakar (Telah melepasi 3 dasawarsa. Nak berapa lama lagi untuk sampai target ni?..hehe)

May 26, 2015

OLEH SHERIDAN MAHAVERA (TMI)

Published: 26 May 2015 6:52 AM

Bumiputera mampu kawal 50% saham korporat di Malaysia jika pentadbiran Barisan Nasional melaksanakan dasar perniagaan pro bumiputera yang baik, kata ahli ekonomi Tan Sri Kamal Salih. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2015.

Bumiputera mampu kawal 50% saham korporat di Malaysia jika pentadbiran Barisan Nasional melaksanakan dasar perniagaan pro bumiputera yang baik, kata ahli ekonomi Tan Sri Kamal Salih. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2015. Bumiputera mampu kawal 50% saham korporat di Malaysia jika pentadbiran Barisan Nasional melaksanakan dasar perniagaan pro bumiputera yang baik, kata ahli ekonomi Tan Sri Kamal Salih. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2015. Bumiputera boleh mengawal 50% daripada semua saham korporat di Malaysia jika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini menjalankan dasar perniagaan yang pro-bumiputera dengan baik, kata seorang ahli ekonomi terkemuka yang terlibat membantu kerajaan merangka dasar tersebut.

Tan Sri Kamal Salih dari Universiti Malaya (UM) berkata demikian ketika Putrajaya meneruskan agenda perniagaan bumiputeranya dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dilancarkan Khamis lepas.

Kamal berkata, sasaran RMK-11 mencapai 30% ekuiti korporat bumiputera mungkin akan gagal tanpa pembaharuan struktur kepada agensi dan jabatan yang ditugaskan menjalankan agenda itu.

Ini kerana, kebanyakan strategi dalam RMK-11 itu sama dengan apa yang dibuat dan dilaksanakan pentadbiran sebelum ini di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Semua itu idea yang baik tetapi pelaksanaannya lemah,” kata Kamal merujuk kepada mengapa dasar pada zaman Abdullah, yang beliau terlibat membantu, gagal mencapai sasaran ekuiti bumiputera.

Dasar yang dirangka semasa pentadbiran Abdullah sepatutnya meneruskan dari mana pemimpin terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhenti.

Menurut sebuah buku oleh ahli ekonomi Edmund Terence Gomez dan Johan Saravanamuttu, ekuiti atau pemilikan saham korporat bumiputera berjumlah 18.9% pada 2004, ketika Abdullah mengambil alih daripada Dr Mahathir.

Angka itu meningkat kepada 21.9% pada 2008, menurut buku itu, “New Economic Policy in Malaysia, Affirmative Action, Ethnic Inequalities and Social justice”.

Ia setahun sebelum Abdullah menyerahkan pentadbiran kepada Datuk Seri Najib Razak, yang kini perdana menteri.

Pendekatan kluster

Pentadbiran Abdullah menggunakan pendekatan kluster membangunkan lebih perusahaan bumiputera dengan memanfaatkan rangkaian nilai dan bekalan industri tertentu, kata Kamal yang kini pensyarah di UM.

Katanya, ciri utama ialah sistem tender terbuka, di mana 60% daripada kontrak kerajaan diberikan kepada syarikat bumiputera.

Tender yang dirunding hanya akan diberi dengan berhati-hati, katanya.

Satu lagi inti sari penting ialah, menyalurkan keluar kontrak daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera apabila mereka mendapat kontrak besar kerajaan.

“Falsafahnya ialah bekerjasama, dan pada masa sama bersaing supaya syarikat bumiputera terbaik boleh maju,” kata Kamal.

Strategi ini, bagaimanapun, tidak dilaksanakan dengan sebaiknya dan pentadbiran Abdullah gagal mencapai matlamatnya.

Apabila menyentuh perolehan kerajaan, majoriti kontrak masih diberi melalui tender tertutup yang dirunding, mendedahkannya kepada pakatan sulit dan rasuah, kata Kamal.

“Apabila GLC mendapat kontrak besar, mereka membentuk anak syarikat yang bersaing dengan PKS bumiputera yang sepatutnya dibantu.

“Akhirnya, gabungan kegagalan institusi, ketidakcekapan, kurangnya integriti, kepimpinan dan pakatan sulit menggagalkan pelaksanaannya,” katanya.

Jika dasar Dr Mahathir dan Abdullah disempurnakan dengan baik sepanjang 30 tahun lalu, Malaysia akan melepasi sasaran 30% ekuiti bumiputera dan mencecah 50% ketika ini, katanya.

Ia hanya mencapai 23.5% pada 2011.

Dalam ucapan RMK-11, Najib berkata, matlamatnya ialah 30% pada 2020 – tahun Malaysia sepatutnya menjadi sebuah negara maju.

Ini akan dilakukan melalui Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan pada 2013.

Ia memperuntukkan RM47.95 bilion dalam bentuk program untuk PKS bumiputera yang sedang meningkat, yang akan dilaksanakan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Laman web Teraju menyatakan, ia akan dilakukan dengan menyediakan peluang perniagaan dan pembiayaan, pelaburan sektor swasta dan program pembangunan vendor yang melibatkan GLC.

Dalam RMK-11 juga, Najib mengumumkan sebahagian daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan dan digunakan untuk membeli unit amanah dalakam Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2).

Kamal berkata dasar bumiputera Najib dan RMK-11 itu sendiri akan gagal seperti dasar sebelumnya jika beliau tidak melakukan pembaharuan dalam kaedah pelaksanaannya.

Beliau sebelum ini memuji usaha kerajaan memberi tumpuan kepada menggandakan pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) yang memperolehi purata RM2,500 sebulan.

“Dari sudut pandang keadilan ekonomi, RMK-11 ialah dasar terbaik sejak DEB. Tetapi saya takut sasarannya tidak dapat dicapai jika tiada pembaharuan institusi,” katanya. – 26 Mei, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jika-dasar-berjalan-lancar-ekuiti-bumiputera-boleh-capai-50-kata-pakar-ekon#sthash.IvoCrhzp.dpuf

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: