Skip to content

Tiada seteru dalam PAS, musuh saya Umno-BN, kata Dzulkefly

March 9, 2015
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad ditemubual di rumahnya di Shah Alam, selepas insiden diserang 2 pemuda awal pagi Khamis minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 9 Mac, 2015.Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad ditemubual di rumahnya di Shah Alam, selepas insiden diserang 2 pemuda awal pagi Khamis minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 9 Mac, 2015.Selepas diserang 2 pemuda tidak dikenali pada awal pagi Khamis minggu lalu, Dr Dzulkefly Ahmad menafikan mempunyai musuh dalam PAS kerana musuh utamanya selama ini hanyalah Umno dan Barisan Nasional (BN).Ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, sukar baginya untuk menuduh pihak tertentu secara spesifik kerana jika tersilap ia pastinya akan mencemarkan imej parti dan keluarga sendiri.

“Musuh” saya hanyalah Umno dan BN. Kalau orang dalam PAS menganggap saya musuh, minta maaf, saya tidak boleh buat apa-apa. Tetapi sikap dan iktikad saya, saya tidak ada musuh dalam PAS. Saya cuma ada perbezaan pandangan.

“Berdepan dengan prospek pemilihan, kami sebagai pimpinan PAS Pusat mesti sedar kalau silap menyebut apa jua perkara itu, media menunggu peluang. Peluangnya memburukkan parti dan memburukkan imej kita.“Cukup bagi mereka mengatakan kita dua kali lima sajalah walaupun PAS parti Islam. Bahkan lebih teruk lagi jika MIC angkat kerusi tetapi ini sudah sampai fizikal dan ganas dengan tidak ada apa-apa amaran,” katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insider di kediamannya di Shah Alam minggu lalu.

Dzulkefly berkata walaupun ramai yang membangkitkan teori an spekulasi berhubung insiden serangan itu namun tidak mudah baginya cenderung kepada pandangan tertentu.

Katanya, apa yang lebih penting ketika ini ialah memberi imej yang baik kepada PAS kerana ia tidak mudah diperbaiki apabila sudah dicemari.

“Bila sudah jatuh seperti Umno sekarang, hendak bangkitkan balik melibatkan jururunding antarabangsa, pakejing- semula dan reformasi tetapi bila sudah rosak ia tidak boleh diperbaiki.

“Sebelum parti sampai ke tahap itu, saya khuatir pihak yang tidak memandang kepentingan jangka jauh, mereka mahu manfaat, kemenangan dan sokongan hari ini tetapi dengan melakukan hal itu (yakni sekulasi-spekulasi) akan menjejaskan persepsi parti untuk jangka waktu panjang.

“Mungkin kita selamat menuding jari menyalahkan pesaing misalnya, tetapi dengan menyebut perkara itu yang menjadi mangsa dan mudarat ialah parti,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, menjadi lumrah berlaku sedikit ketegangan menjelang beberapa bulan sebelum pemilihan PAS namun serangan yang menimpa dirinya disifatkan sebagai luar biasa.

Dzulkefly yang pernah menjadi pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sains perubatan itu berkata, menjadi harapannya suasana damai dan harmoni dapat dikekalkan sebelum proses pemilihan kerana apa-apa perselisihan perlu diselesaikan secara baik.

“Bukan hanya tahun ini, tetapi setiap muktamar akan berlaku begitu tetapi kenapa kali ini ia menjadi terlalu runcing dan tajam? Itu satu perkara pelik. Adakah kita sudah berasa terlalu terancam dan musuh mudah mengambambil peluang?

“Saya ingatkan tidak perlu mencetuskan suasana seperti itu sebab kita ada 3 bulan lagi. Saya tidak boleh bayangkan 3 bulan lagi apakah akan menjadi lebih bahang dan pergolakan semakin getir dan runcing. Saya sukar membayangkan,” katanya.

Dzulkefly berkata, apa jua perselisihan perlulah diselesaikan dengan cara tidak melanggar akhlak Islam dan batas syariat Allah kerana PAS tidak boleh dipertahankan melalui cara itu.

“Jangan mudah mengizinkan kita melakukan sesuatu kesalahan atas nama dan niat kononnya kita sahaja yang menjaga keaslian perjuangan walhal belum pasti siapa yang benar-benar lebih tepat dan betul daripada segi keaslian.

“Keaslian bukan bermakna yang lama tetapi kembali kepada yang lebih baik untuk parti dan perjuangan hari ini. Itulah prinsip (mabdak) bukan berpegang pada yang lama atau baru.

“Mereka kata hendak cara yang lama. Cara lama apa? Tahun 1980-an? Nak dua, tiga kerusi saja?” soalnya kepada The Malaysian Insider.

Ketika diminta mengulas peranan yang perlu dimainkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas beberapa insiden mencemar nama baik parti, Dzulkefly berkata presiden PAS itu perlu menunjukkan kepimpinan yang adil dan tidak berpihak.

Katanya, Tuan Guru perlu menzahirkan kepimpinannya sebagai seorang ayah dalam sebuah keluarga besar dengan berperanan memperkukuhkan saf kepimpinan.

“Saya mahu presiden menzahirkan kepimpinannya dengan tidak berpihak dan mengizinkan anak buah menunjukkan prestasi mereka.

“Ahli mahu saksikan peranan presiden sebagai ayahanda kepada keluarga besar ini dilihat melakukan usaha menyatukan hati kami dengan tidak berpihak, adil dan tidak meminggirkan mana-mana kelompok dalam parti.

“Persoalannya sekarang sejauh mana orang menilai presiden memainkan peranan itu?” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dzulkefly berkata hal itulah yang dibangkitkan dalam muktamar tahun lalu pada saat rasa tidak puas hati berlegar sekitar perhimpunan tersebut.

Katanya, pemimpin perlu mempunyai wawasan dan arah tuju bagi membolehkan matlamat sesebuah organisasi tercapai.

“Tugas kemuncak pimpinan mengikut kitab ulama, menyatukan hati, memperkuatkan saf, mengikat ahli dengan misi dan visi akhlak berorganisasi.

“Presiden seperti ayah. Kita tidak rasa terancam dengan anak-anak kita yang dapat 12A walaupun kita dulu tidak dapat macam tu. Anak-anak tetap memandang ayah untuk mengemudi perjuangan.

“Pimpinan kalau tidak ada wawasan, tolong ke tepi. Jika tidak tahu arah tuju ke mana, mereka akan ke mana-mana. Itu bahasa pengurusan. Jika tidak tahu ke mana arah tuju, kita akan sampai tetapi destinasinya tidak diketahui,” katanya.

Muktamar PAS tahun ini jadi medan penting parti menetapkan hala tuju untuk tempoh 5 hingga 10 tahun depan, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Arifin, 9 Mac, 2015.Muktamar PAS tahun ini jadi medan penting parti menetapkan hala tuju untuk tempoh 5 hingga 10 tahun depan, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Arifin, 9 Mac, 2015.

Beliau berkata muktamar tahun ini menjadi medan penting bagi PAS menetapkan hala tuju parti untuk tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Katanya, muktamar juga perlu diingatkan Pakatan Rakyat (PR) adalah satu-satunya cara untuk mencapai objektif politik dan ini tidak boleh dipisahkan dari usaha mencari reda Allah.

“Dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sangat mustahak kepimpinan tertinggi parti membuat pilihan strategik dalam senario yang mendatang.

“Pemimpin tertinggi dalam muktamar perlu jelas, tak boleh flip flop. Sebagaimana pernah kita tentukan PR adalah jalan dan cara untuk mencapai objektif politik. Dengan kemenangan terbuka pintu amal untuk memburu reda Allah.

“Reda Allah; sembahyang, zakat, umrah, puasa pun reda Allah. Reda Allah dalam setiap kegiatan kita. Dalam ibadah khusus reda Allah ini sentiasa, tiada pemisahan,” katanya.

Dzulkefly berkata PAS perlu jelas sebagai sebuah parti politik Islam, medan dan wasilah untuk menunaikan matlamat perjuangan ialah melalui pilihan raya. Inilah wasilah dalam politik untuk mencari reda Allah.

Katanya, pihak tertentu yang melemparkan dakwaan kerjasama bersama PR satu hubungan songsang dan sesat perlu membuktikan dakwaan berkenaan.

“Saya minta perwakilan tahu, kita sudah jelas apa yang hendak kita capai dengan jalan murni dan bukan jalan salah. Siapa kata jalan salah, songsang dan sesat? Buktikan songsang dan sesat melalui PR.

“Jangan cakap saja. Kalimat macam ini yang tertimbun dalam kekusutan fikiran orang. Perwakilan kena tentukan apakah takungan dan saf kepimpinan yang selepas kita jelas mahu ke mana.

“Kemenangan bukan segala-galanya tetapi segala-galanya menantikan kemenangan untuk kita dapat menunaikan sebahagian daripada cita-cita perjuangan kita,” katanya. – 9 Mac, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-seteru-dalam-pas-musuh-saya-umno-bn-kata-dzulkefly-selepas-diserang#sthash.A92nze6B.dpuf

Advertisements
One Comment leave one →
  1. Asri Adnan permalink
    March 9, 2015 7:56 am

    Terbaiklah Dr Zul, jangan berbalah sesama sendiri sehingga lupa musuh sebenar. Ini baru profesional.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: