Skip to content

Pernah Nik Aziz dianggap ‘liberal’ dan penganjur ‘Pluralisme Agama’ dalam usaha pecah tembok perkauman.

February 18, 2015
Nik Aziz dianggap ‘liberal’ dalam usaha pecah tembok perkauman, kata pemimpin PAS

Published: 18 February 2015 8:53 AM (TMI)

Ramai tidak memahami memahami strategi siasah dan pendekatan dakwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memecahkan tembok perkauman dan agama di negara ini yang kini terbukti dengan penerimaan DAP yang menganggap beliau tokoh semua kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Februari, 2015.

Ramai tidak memahami memahami strategi siasah dan pendekatan dakwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memecahkan tembok perkauman dan agama di negara ini yang kini terbukti dengan penerimaan DAP yang menganggap beliau tokoh semua kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Februari, 2015.

Sebelum sebahagian pemimpin dilabelkan sebagai liberal dan mengamalkan pluralisme agama, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mursyidul am PAS yang meninggal dunia Khamis lepas, terlebih dahulu menerima label sedemikian, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu berkata, golongan agamawan, sama ada dari luar mahupun dalam parti PAS sendiri, tidak memahami strategi siasah dan pendekatan dakwah Nik Aziz dalam memecahkan tembok perkauman dan agama di negara ini.

“Hanya dengan ilmu yang mengizinkan Tok Guru meneroka dan merentas keluasan siasah dan dakwah serta faham batas-batasnya,” kata Dr Dzulkefly dalam satu tulisan sempena mengingati pemergian Nik Aziz, yang juga dikenali dengan panggilan Tok Guru, pada usia 84 tahun minggu lalu.

Label itu katanya, diterima Nik Aziz kerana orang tidak memahami pendekatannya yang luar biasa dalam menangani masyarakat plural dan pelbagai agama dan kaum di negara ini.

“Tok Guru tidak takut dikritik keras ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka.

“Tok Guru menghadiri tempat ibadat seperti Tok Kong dan keramaian budaya di restoran-restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun terdapat arak serta hidangan yang kurang ‘menyenangkan’ di mata masyarakat umat Islam,” katanya memberi contoh yang amalan Nik Aziz sama seperti Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin yang melazimi anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan di bandar-bandar di Kaherah.

“Bahkan, Tok Guru dikatakan memberi keutamaan meraikan program seumpama ini, seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran yang lain,” katanya mengimbau kembali kepimpinan Nik Aziz semasa hayatnya.

Dr Dzulkefly berkata, bekas menteri besar Kelantan itu kerap memulakan ucapannya di hadapan kaum Tionghua dengan ayat-ayat al-Quran yang relevan dan sesuai dengan tujuan dakwahnya.

Contohnya, beliau sering mengungkapkan ayat 13 Surah Hujurat yang menekankan hakikat yang manusia datang daripada datuk dan moyang yang sama iaitu Adam dan Hawa.

“Itu biasa. Tetapi apabila Tok Guru tekankan, bukan sahaja kita bersaudara, tetapi acap kali didengari beliau menggunakan kalimat ‘kita ini adik beradik’. Itu satu yang ajaib dan istimewa,” katanya yang sangat tertarik dengan pendekatan dakwah Nik Aziz sehingga beliau diterima semua pihak.

Sebelum ini, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilabelkan sebagai liberal dan mengamalkan pluralisme agama. Menjelang muktamar tahunan PAS Jun ini, sebahagian pemimpin parti Islam itu pula turut dilabelkan sedemikian rupa.

Kesan pendekatan Nik Aziz dengan masyarakat bukan Islam selama ini, beliau diiktiraf DAP sebagai tokoh semua kaum dan agama.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika memberikan ucapan di majlis pengebumiannya menyifatkan Nik Aziz sebagai tokoh yang bukan saja disanjung oleh umat Islam dalam dan luar negara tetapi juga disanjung orang bukan Islam.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, kehidupan ‘sempoi’ (serba sederhana) dan bersih Nik Aziz akan diingati semua pihak sampai bila-bila.

“Saya masih ingat, ketika kita tawan lima negeri dalam pilihan raya 2008, kami semua memandang kepada Tok Guru Nik Aziz untuk meminta panduan dan nasihat,” katanya sebak, merujuk kepada Nik Aziz yang menjadi menteri besar selama 18 tahun ketika Lim dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain dilantik sebagai ketua menteri dan menteri besar.

Bagi Dr Dzulkefly, persoalan yang perlu dihalusi ialah, mengapa Nik Aziz mengambil pendekatan untuk benar-benar mendampingi kaum Tionghua, sehingga negara luar yang pertama dilawati sebaik sahaja menjadi menteri besar Kelantan pada 1990 ialah China.

“Mengapakah Tok Guru mengizinkan ‘kalimah Allah’ digunakan penganut agama lain sementara wujud golongan agamawan yang bertegas tidak mengizinkan?” soal AJK PAS pusat itu dalam tulisannya.

Terdahulu, katanya, ramai masih ingat pelbagai reaksi dan kontroversi terhadap usaha Nik Aziz membina masjid yang reka binanya berbentuk bumbung pagoda, sehingga mendapat jolokan Masjid Cina.

“Mungkin ada masjid seperti ini lebih awal di negara ini, tetapi tatkala Tok Guru membinanya, beliau punya matlamat yang jelas dalam siasah dan dakwahnya bagi menambat hati kaum Tionghua dan meredakan prejudis terhadap Islam.

“Kerap Tok Guru menekankan, kaum Cina lebih dahulu memeluk Islam dan lebih ramai yang Islam daripada orang Melayu!” katanya.

Ini menunjukkan, katanya, betapa Islam itu bukan hanya untuk Melayu, bahkan untuk semua kaum, seluruh alam.

“Ini mesej Tok Guru yang sangat mendalam penghayatan siasah dan dakwahnya. Bukan sahaja untuk kekal berkuasa seperti sang penguasa politik di mana pun di dunia ini,” katanya. – 18 Februari, 2015.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-dianggap-liberal-dalam-usaha-pecah-tembok-perkauman-kata-pemimpin#sthash.yviCOw5t.dpuf

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: