Skip to content

MAS dalam program ‘bellyup dan bailout raksasa’ – Satu Pengamatan.

August 14, 2014

Dzulkefly Ahmad (TMI)

Published: 13 August 2014

Akhirnya apa yang diwar-warkan sedikit waktu dulu tentang MAS akan berlaku. Satu proses pemiliknegaraan atau ‘Renationalisation’ sebelum dilakukan penstrukturan semula dalam satu tindakan penyelamatan atau “Bailout” yang raksasa.

Pemilik utamanya Khazanah Nasional Berhad yang memegang 69% sahamnya, tekad membuat tawaran awam di Bursa Saham bagi membeli selebihnya saham MAS iaitu 31% itu pada harga 27 sen sesaham berjumlah RM1.4 bilion. Harga pasaran kini, dengan nilai aset semasa, dikatakan dalam anggaran 25 sen sesaham.

Dengan itu Khazanah bersedia membawa MAS keluar Bursa dan kembali sebagai entiti yang dimiliknegerakan kembali.

Tawaran ini dianggap baik bagi pelabur jangka pendek yang sempat membeli sahamnya selepas tragedi MH370 pada harga 15 sen. Bagi ‘stakeholders’ atau pelabur ‘jangka panjang’ mereka mengalami kerugian besar pastinya.

Harga saham MAS pernah mencecah RM8 sesaham sebelum penswastaan 20 tahun lalu. Gurauannya, anda perlu 7 saham MAS untuk membayar secawan nescafe tarik.

Setelah diswastakan MAS (nyahsenarai), Khazanah berdepan dengan tuntutan kos operasi yang tinggi untuk terus mengurus operasi harian MAS. Khazanah pastinya perlu menyuntik dana baru untuk meneruskan khidmat MAS sebelum langkah ‘penstrukturan’ dapat dijayakan.

Seperkara yang tidak dapat dielakkan selepas ini adalah tentang kos pinjaman. MAS tidak akan dapat meminjam dengan penarafan Triple -A Khazanah semacam dulu. Akhirnya kos pinjaman ini akan dipindahkan kepada pelanggan pastinya sekaligus mengurangkan daya saing MAS.

Pastinya juga Khazanah memerlukan ‘rakan baru’ bukan saja untuk membayar hutang MAS berjumlah RM10 bilion kepada bank tempatan dan RM2.5 bilion dalam bentuk sukuk kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Di samping itu MAS menjalankan tiga kali suntikan dana sama ada daripada ‘stakeholders’ utamanya iaitu Khazanah atau menerbitkan ‘right issue’ sekali gus mengurangkan ‘earning per share’ setiap pemegang saham MAS ini. Sejumlah RM7.25 bilion dijana dalam 7 tahun lalu, dalam pelbagai langkah penjanaan dana ini, terakhir pada Mei tahun lalu (RM3.25 bilion). Sangat parah kedudukan kewangan MAS.

Siapa bakal jadi rakan strategik MAS masih tanda tanya. Tidak mudah mencari rakan yang benar-benar memilikki kekuatan sinergi; keupayaan dana, kepakaran teknikal dan strategi bisnes serta pengalaman dan cakupan pengaruh yang luas dan berkesan. Ini adalah antara faktor kritikal kejayaan bagi program pemulihan MAS yang pernah menggondol pelbagai anugerah dan pingat kecemerlangan pekhidmatan antarabangsa.

Yang pastinya kreditor yang mahu menagih hutang daripada MAS berdepan hakikat mereka akan diminta mengambil “hair-cut” atau diskaun besar yang terpaksa diberikan kreditor kepada MAS. Mereka juga mungkin terpaksa menerima bayaran hutang dalam bentuk pertukaran saham atau ‘debt-equity swap’.

Umum mengetahui kerugian MAS di antara 2011 dan 2013 sebanyak RM5 bilion dan RM443 bilion pada suku pertama 2014 ini dan penganalisis hanya memberikan 6 bulan untuk beroperasi dengan jumlah tunai semasa yang ada. Lebih mudah, mengikut telahan penganalisis, seperti pernah juga saya tuliskan, supaya MAS diizinkan ‘goes belly-up’ atau mudahnya, ‘dibankrapkan’ bagi memulakan satu era baru. Mungkin ia pelik bunyinya, namun langkah tersebut bukanlah aneh dalam dunia korporat.

Sebaliknya adalah lebih mudah dan bersih sebagai satu ‘clean solution’ dan semua ‘kontrak dan komitmen lama’ yang tempang dan berat sebelah akan berakhir. MAS akan bebas daripada menanggung ‘baggages’ atau ‘legasi buruk dan beban lama’.

MAS akan mampu bermula seolah-olah sebagai entiti bisnes baru dan mengorak langkah baru, meneruskan legasi baiknya namun terhindar daripada memikul biawak dalam amalan ‘kronisme dan nepotisme’ yang merosakkan sistem penerbangan negara yang pernah dibanggakan rakyat!

Tragedi MH370 dan terkini MH17 yang berlaku senggang 4 bulan tidak pernah berlaku dalam sejarah avionik moden di dunia. Dampak kewangannya bukan kepalang. Memulih keyakinan dan sentimen pelanggan tentunya memakan tahun.

Sedikit pengamatan penulis, untuk terus survive dan menjadi entiti bisnes yang punya daya saing, MAS perlu mengambil perhitungan dan tindakan menjalankan satu review yang komprehensif dan mendalam bagi menangani aspek polisi, dasar dan strategi perniagaan dan struktur organisasi.

Apa pun sangat penting supaya MAS mesti ‘dibankrapkan’ dahulu sebelum di bawa keluar dari Bursa sebab proses proses ‘regularisasi’nya akan menjadi telus termasuk hal-hal penjual aset, ‘divestures’ dan sebagainya akan menjadi telus. Kalau langkah ‘dinyahkan’ atau ‘delisting’ dahulu maka segala langkah-langkah tidak perlu telus kepada umum.

A. Mengatasi permasalahan pengurusan yang tidak cekap dan berkesan daripada segi ‘Menajamkan Akumen Strategi Bisnes bagi menangani cabaran persaingan sengit perkhidmatan laluan serta kawalan kewangan dan pelaburan-perolehan supaya produktif dan berpulangan tinggi.

B. Menghentikan campur tangan politik yang menyiksa pengurusan. ’Political interference’ yang menganggu kelancaran pengurusan pengambilan, pelantikan dan kenaikan pangkat serta khususnya pemberian kontrak servis dan perbekalan yang ‘berat sebelah’ serta membebankan kewangan dan menguntungkan kroni.

C. Mengimbangi peranan dan tekanan kesatuan sekerja yang ditanggapi terlalu kuat dan tidak membantu pencapaian prestasi dan kecekapan sistem pengurusan. Peranan mereka mesti diolah dan ditala bagi memperkukuhkan MAS dan tidak sebaliknya. – 13 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dzulkefly-ahmad/article/mas-dalam-program-bellyup-dan-bailout-raksasa#sthash.qXnonHs9.dpuf

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: