Skip to content

PAS desak kembalikan jawatan Prof Redzuan

July 1, 2014

HARAKAHDAILY | 01 Julai 2014.

KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

“Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja,” ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS memandang serius tindakan universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) yang mengarahkan ahli akademik terkemuka, Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman supaya meletakkan jawatan sebagai Pengarah University of Malaya Centre for Democracy and Elections (UMcedel) serta tidak menyambung perkhidmatan Prof Redzuan sebagai Dekan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Apa yang mengejutkan, kedua-dua tindakan ini dikatakan diambil hasil dari desakan politik pihak tertentu di Kementerian Pendidikan yang tidak senang dengan kajian-kajian berkaitan politik negara yang dijalankan oleh UMcedel di bawah kepimpinan Prof Redzuan.

Dengan mengambil tindakan sebegini ke atas Prof Redzuan, jelas menunjukkan bahawa janji perlaksanaan transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri untuk memberi ruang kebebasan bersuara yang lebih luas kepada rakyat, adalah suatu pembohongan semata-mata.

Bukan setakat kerajaan yang ada hari ini tidak boleh berkompromi dengan sebarang kritikan dari parti pembangkang, tetapi sudah sampai ke tahap tidak boleh berlapang dada di atas hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik non-partisan. Dalam dunia akademik, apa jua dapatan di dalam sesuatu kajian itu adalah terbuka untuk dicabar dan dinilai semula.

Jika tidak berpuas hati dengan dapatan yang diperolehi oleh Profesor Redzuan dan UMcedel, kerajaan Umno dan BN boleh sahaja mengemukakan sebarang hasil kajian balas untuk seterusnya dinilai secara akademik. Tetapi bukan dengan mengambil tindakan ‘menghukum’ Prof Redzuan kerana tidak selesa dengan kajian beliau.

Saya ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri dan timbalannya yang juga merupakan Menteri Pendidikan harus bertanggungjawab dan membuat penjelasan umum berhubung dengan arahan kepada UM yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan agar Prof Redzuan diketepikan sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Campur tangan politik sempit kepartian di dalam hal ehwal akademik dan pengurusan universiti adalah perbuatan yang amat jijik kerana ianya bukan sahaja menzalimi individu terbabit, bahkan ianya juga mencemar reputasi insititusi pendidikan terulung di negara ini dan seterusnya memburukkan lagi pandangan dunia terhadap intitusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dalam keadaan kedudukan ranking UM dan universiti-universiti di negara ini semakin merudum jika hendak dibandingkan dengan negara-negara serantau yang lain, tidak dapat dibayangkan apakah yang menguasai cara berfikir dan bekerja para penggubal dasar, pegawai-pegawai kementerian, pentadbir-pentadbir universiti di negara ini selain dari hanya semata-mata untuk membodek dan menyatakan hanya perkara-perkara yang sedap didengar kepada para menteri dan ahli politik pemerintah.

Kongkongan kuku besi ke atas sistem pendidikan di Malaysia menjadikan negara kita semakin tertinggal di belakang. Lihat sahaja di dalam laporan yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Asia University Rankings 2014 yang dikeluarkan beberapa minggu lalu menyaksikan tidak ada satu pun universiti awam di Malaysia yang menduduki kedudukan 100 universiti terbaik di Asia.

Selepas kajian ranking ini dikeluarkan, kita tidak mendengar sebarang ulasan samada dari Perdana Menteri atau timbalannya tentang apakah langkah-langkah segera yang bakal diambil kerajaan untuk memperbaiki kualiti universiti awam di negara kita. Rupa-rupanya ‘langkah’ pertama yang diambil kerajaan ialah dengan tidak menyambung perkhidmatan seorang tokoh akademik yang berwibawa!

Bagi pihak PAS, saya mendesak agar Prof Redzuan dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera.

Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja.

Politik sempit dan sikap balas dendam yang diamalkan hingga memangsakan tokoh-tokoh dan institusi-institusi yang memberi sumbangan kepada negara, harus dihentikan demi masa depan negara yang lebih gemilang. – HARAKAHDAILY 1/7/2014

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: