Skip to content

Bezakan ‘Tahyul Sejarah’ Abdullah Zaik dan ‘Fakta Sejarah’ Prof Rozhan Othman

May 14, 2014

Mereka-reka ‘sejarah’, tahyul dan menjaja kebencian – Rozhan Othman

May 14, 2014 (TMI)

Sejarah ialah apa yang ditulis oleh ahli sejarah. Pada zaman dahulu, penulis yang merekod sejarah lazimnya berkhidmat di bawah naungan istana. Oleh itu, perspektif yang sering dilaporkan adalah menurut pandangan golongan elit ketika itu. Adakalanya kisah yang dicatit dilebih-lebihkan dan bercampur dengan dongengan dan tahyul. Namun, sejarah sering digunakan untuk menjustifikasikan tindakan dan pendirian. Orang  yang jahil sejarah pun suka menggunakan sejarah sebagai hujah.

Saya masih ingat ceramah disampaikan oleh Mark Lane, seorang peguam dan penulis dari New York berketurunan Yahudi yang juga penentang Zionisma, ketika saya menuntut di Ohio. Beliau menerangkan bagaimana gerakan Zionis memutarbelitkan sejarah dalam kempen mereka mendapatkan sokongan di kalangan rakyat Amerika berketurunan Yahudi.

Gerakan Zionis meminta mereka menaja projek menanam pokok di Palestin kerana menurut gerakan Zionis, Palestin ialah kawasan gurun yang tidak berpokok dan tidak diduduki orang. Akibat versi “sejarah” yang disebarkan gerakan Zionis ini, ramai Yahudi di Amerika percaya pendatang Yahudilah penduduk asal di Palestin dan orang Palestin sebenarnya penceroboh dari Jordan.

Versi “sejarah” yang direka gerakan Zionis ini nyata jauh daripada fakta sejarah. Mishaal meneliti rekod sejarah dan mendapati orang Palestin lama menduduki bumi yang dituntut gerakan Zionis. Malah, suku seperti Kanaan dan Filisti menduduki bumi Palestin sejak sebelum Bani Israel berhijrah ke situ dari Mesir.

Mereka-reka “sejarah” turut digunakan Arashin Wirathu. Beliau adalah sami Buddha yang memimpin gerakan anti-Islam di Myanmar. Orang Buddha digesa membenci orang Islam, dilarang mengunjungi kedai-kedai orang Islam dan ditegah mengahwini orang Islam.

Dia menjustifikasikan tindak-tanduknya dengan mengatakan orang Islam adalah penceroboh yang dibawa British dan jika dibiarkan akan menakluk Myanmar. “Sejarah” yang digunakan Wirathu menafikan hakikat orang Islam berada di Myanmar sejak kurun ke-11 sedangkan British hanya menapak di Myanmar pada 1842.

Di Malaysia, sebuah NGO yang kini mencipta nama sebagai kumpulan ekstremis Melayu dan penjaja kebencian di Malaysia turut mengambil pendekatan yang sama. Pemimpin-pemimpin NGO ini  mereka-reka “sejarah” dalam usaha mereka mewujudkan ikon tokoh Melayu.

Ini dilakukan sebagai sebahagian usaha mengindoktrinasi ahli mereka akan keunggulan bangsa Melayu. Satu langkah yang mereka ambil beberapa tahun lalu ialah menonjolkan watak Panglima Awang sebagai tokoh dan wira agung  Melayu. Malangnya, “sejarah” Panglima Awang yang mereka gunakan adalah berdasarkan sebuah novel yang diterbitkan pada 1958. Walaupun watak Panglima Awang memang wujud dalam sejarah, novel ini merupakan gabungan fiksyen dan kisah benar.

Kajian oleh penyelidik sejarah Barat, Filipina dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan sebenarnya Panglima Awang merupakan hamba kepada Ferdinand Magellan. Dia diperolehi Magellan selepas Portugis menawan Melaka. Dia kemudiannya memeluk Kristian dan mengambil nama Enrique. Magellan memberinya gelaran “mulatto” atau budak hitam, satu gelaran yang merupakan penghinaan. Ketika Magellan tiba di Cebu, Filipina, Enrique memainkan peranan penting sebagai penterjemah yang membantu Magellan mengkristiankan Raja Hamubon serta sukunya. Selepas Cebu, tiada lagi catitan mengenai Enrique dan beliau bukan di antara 18 orang anggota ekspedisi Magellan yang  berjaya kembali ke Sepanyol. Oleh itu, sukar membayangkan bagaimana watak sebegini boleh dijadikan ikon perjuangan Melayu-Islam. Inilah akibatnya bila penjaja kebencian mereka-reka “sejarah”. Fiksyen dijadikan “fakta sejarah”.

Sentimen sama turut diutarakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman. Dia menggunakan hujah “sejarah”. Dia mendakwa pandangan beliau orang Cina adalah penceroboh dan dibawa British untuk membuli orang Melayu adalah “fakta sejarah”.

Walaupun polis sedang menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan, saya berpendirian tindakan undang-undang bukanlah cara terbaik berdepan sikap beliau. Walaupun saya berpandangan kenyataan beliau adalah tahyul dan kefasadan, saya tetap menghormati hak beliau bersuara. Saya berpendirian cara terbaik menghadapi penjaja kebencian ialah bersabung dengan mereka di medan hujah.

Beberapa bulan dahulu saya bersama seorang pemimpin gerakan Islam yang juga terkenal sebagai seorang pemikir Islam. Saya berbincang dengannya mengenai ekstremisma yang semakin menjadi-jadi hari ini. Beliau memberi satu komen yang menarik. Beliau menyatakan pernah bertemu dengan beberapa pemimpin golongan ekstremis ini. Satu ciri yang beliau perhatikan ialah walaupun mereka ini menggunakan nama dan label Islam, kebanyakan jahil dan mempunyai kefahaman mengenai Islam yang amat cetek.

Bagi penjaja kebencian di Malaysia, mereka bukan sahaja cetek kefahaman Islam. Mereka juga jahil sejarah. Apa yang mereka dakwa sebagai “fakta sejarah” adalah dongengan semata-mata. Namun ia disebarkan di kalangan pengikut mereka dan dijadikan ideologi  untuk menjustifikasi tindak-tanduk pemimpin mereka.

Keyakinan mereka kepada dongengan ini sama dengan kepercayaan masyarakat primitif kepada tahyul. Ini nyata sekali dalam keyakinan mereka akan “fakta sejarah” mengenai kedatangan orang Cina ke Malaysia yang diutarakan Abdullah Zaik.

Sejarah kedatangan orang Cina ke nusantara bermula sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Di antara rekod sejarah yang terdapat ialah catitan Yi Jing, seorang sami Buddha yang mengembara dan tinggal di sekitar Asia Tenggara pada kurun ke-7 Masihi. Ketika itu, Asia Tenggara dikuasai kerajaan Seri Vijaya dan merupakan pusat agama Hindu dan Buddha. Seri Vijaya mempunyai hubungan rapat dengan Cina dan orang Cina mula datang ke rantau ini. Yi Jing tiba di Kedah pada tahun 673 Masihi.

Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu secara besar-besaran hanya berlaku pada kurun ke-15.  Sebahagian datang  ke Melaka bersama Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po. Keturunan mereka ini kini dikenali hari ini sebagai Peranakan. Satu lagi kumpulan merupakan pedagang Cina yang belayar ke Terengganu. Mereka menetap di sana dan rekod sejarah menujukkan masyarakat Cina melebihi 50% penduduk  Kuala Terengganu pada pertengahan tahun 1600-an. Inilah asal-usul Kampung Cina di Kuala Terengganu. Rekod sejarah juga menunjukkan masyarat Cina di situ mula ditadbir oleh kapitan Cina sejak 1732.

Arus kedua kedatangan orang Cina secara besar-besaran ialah pada 1651-1652 setelah peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Cina di Fujian oleh puak Manchu. Ketika itu, Melaka di bawah jajahan Belanda dan British belum lagi menapak di Tanah Melayu. Francis Light hanya menduduki Pulau Pinang pada 1786, lebih 100 tahun selepas kedatangan arus kedua ini.

Di Perak, orang Cina memainkan peranan penting dalam pembangunan perlombongan bijih timah. Ketika Long Jaafar Perak menemui bijih, hanya 3 buruh Cina di daerah Larut. Selepas itu, jumlah mereka bertambah. Mereka ini sebahagian arus ketiga kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu.

Mereka terbahagi kepada kumpulan Ghee Hin dan Hai San. Rekod sejarah tidak pula menunjukkan mereka ini bertelagah dengan orang Melayu. Sebaliknya, mereka banyak bertelagah dan berperang sesama sendiri kerana berebut hak melombong bijih.

Perang Larut yang bermula pada 1861 merupakan perang antara kongsi-kongsi gelap Cina. Pemerintah Melayu gagal mengawal keadaan ini kerana sibuk dengan perebutan kuasa sesama sendiri. Pertelingkahan sesama Melayu ini membawa kepada Raja Abdullah meminta sokongan British. Termeterainya Perjanjian Pangkor pada 1874 merupakan titik permulaan penglibatan meluas British di Tanah Melayu. Selain merupakan perjanjian di antara Raja Abdullah dan British, British turut melibatkan 26 pemimpin Cina Larut dalam Perjanjian Pangkor untuk mendamaikan sesama mereka. Ini berlaku hampir 15 tahun selepas kedatangan orang Cina ke Larut.

Di Selangor pula, bijih timah ditemui pada kurun ke-19. Pada 1846, Sultan Selangor ketika itu melantik Raja Jumaat dari Riau sebagai pentadbir Lukut. Raja Jumaat mengembangkan kegiatan perlombongan bijih di Lukut. Buruh dari Cina dibawa bekerja di Lukut. Pada kemuncaknya, terdapat 20,000 buruh Cina di Lukut. Ini juga sebahagian arus ketiga kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu.

Sekitar 1850, Sultan melantik sepupu Raja Jumaat, Raja Abdullah, sebagai pentadbir Kelang. Raja Abdullah membangunkan perlombongan bijih di Kelang dan ini menarik ramai buruh Cina dari Lukut ke Kelang. Pada ketika sama, bijih juga ditemui di sekitar Kuala Lumpur dan turut menarik buruh Cina. Di antara yang pergi ke Kuala Lumpur ialah Yap Ah Loy.

Persengketaan tercetus di Selangor dari 1868-1874 apabila Raja Mahadi membantah pelantikan Raja Abdullah. Ini kerana Raja Abdullah memajakkan Kelang kepada William Read dan Tan Kim Ching. Mereka diberikan hak untuk mengutip cukai di Kelang. Ini mencetuskan perang saudara di Selangor. Raja Abdullah dibantu oleh Tengku Kudin, seorang putera dari Kedah, yang berkahwin dengan puteri dari Selangor.

Yap Ah Loy menyebelahi Tengku Kudin. British bersimpati dengan Tengku Kudin. Keadaan menjadi semakin genting apabila Selangor diserang lanun pada 1873. Sultan Selangor menerima bantuan British dan menerima penasihat British pada 1874, lebih 20 tahun selepas kedatangan orang Cina ke Lukut dan Kelang.

Yap Ah Loy pula memainkan peranan penting dalam membangunkan Kuala Lumpur. Dia menubuhkan pasukan polis pertama di Kuala Lumpur. Pada 1881, banyak bangunan di Kuala Lumpur, yang merupakan rumah-rumah atap, rosak kerana banjir dan kebakaran. Frank Swettenham, residen Inggeris ketika itu, memutuskan bangunan-bangunan baru di Kuala Lumpur dibina menggunakan bata dan atap genting. Yap Ah Loy mengambil kesempatan dengan membeli sebidang tanah dan membuka kilang bata dan atap genting. Kawasan ini menjadi “padang bata”  lantas dikenali sebagai Brickfields. Yap Ah Loy juga membina sistem jalan di Kuala Lumpur. Ini termasuklah pembinaan Jalan Ampang, Jalan Pudu dan Jalan Petaling serta membina penjara dan mahkamah pertama di Kuala Lumpur.

Di Johor, kemasukan orang Cina pada akhir 1820-an adalah di atas galakan Temenggong Abdul Rahman untuk mengusahakan penanaman gambir dan lada hitam. Pada 1840-an, Temenggong Ibrahim mewujudkan sistem kangchu untuk mentadbir orang Cina di negeri itu.  Ketua-ketua Cina diberi surat tauliah dan dilantik sebagai Tuan Sungai.

Fakta-fakta serta urutan kronologi di atas menunjukkan beberapa perkara. Pertama, kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu mendahului kedatangan British. Tidak dinafikan arus keempat kedatangan orang Cina berlaku setelah British bertapak di sini, tetapi dakwaan British yang membawa orang Cina ke Tanah Melayu adalah tidak benar. Kedatangan orang Cina turut dorongi faktor tolakan, iaitu konflik yang berlaku di Cina ketika itu.

Kedua, kemasukan orang Cina di Tanah Melayu  adalah dengan izin, dan kerap kali, dengan galakan pembesar Melayu. Ketiga, kemasukan British di kebanyakan negeri-negeri Melayu adalah kerana pertelingkahan sesama Melayu.

Masyarkat Cina bukanlah boneka British dan bukan mereka yang mengajak British campur tangan di Tanah Melayu. Mereka juga bukan penguatkuasa bagi British. Sebaliknya, British lebih banyak bergantung kepada askar-askar yang dibawa dari India.

Sejarah juga menunjukkan adakalanya orang Melayu sendiri yang mengkhianati orang Melayu dan membantu British. Ini jelas semasa Perang Naning (1831-1832). Perang Naning tercetus apabila Pentadbiran Negeri-negeri Selat di Melaka mendakwa Naning adalah sebahagian daripada Melaka dan menuntut Naning memberi 10% daripada hasilnya kepada Melaka.

Ini mencetuskan Perang Naning Pertama di mana British berjaya ditewaskan. Namun, British menyerang Naning lagi selepas mendapat sokongan dan bantuan Rembau. Yamtuan Muda Rembau menasihati British untuk menaburkan tulang-tulang babi dan anjing untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Naning. Dalam Perang Naning Kedua, British berjaya menewaskan Naning dan menjadikannya sebahagian daripada Melaka.

Sebelum Perang Dunia Kedua, British tidak menunjukkan minat melibatkan orang Cina dalam pasukan keselamatan di Tanah Melayu. Hanya ketika Jepun menakluk Malaya dan Singapura baru mereka menghargai peranan orang Cina. Ini kerana MPAJA yang muncul menentang Jepun banyak dianggotai orang Cina. Ketika Darurat, ramai anggota pasukan keselamatan terkorban menentang Parti Komunis Malaya. Ini termasuk askar Melayu serta askar British Commonwealth dari UK, Australia, New Zealand, Fiji dan askar Gurkha.

Orang Cina dan India turut terlibat dalam perang menentang komunis. Sebagai contoh, penyusup yang paling berjaya menembusi PKM ialah seorang agen berbangsa Cina bernama Lai Tek. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM walaupun beliau sebenarnya agen British. Seorang agen Cawangan Khas yang paling berjaya ketika Darurat ialah seorang wanita genit berbangsa Cina bernama Irene Lee. Dia bertekad untuk melawan PKM setelah suaminya dibunuh anggota PKM.

Pada 1970-an, PKM menjalankan kempen pembunuhan orang penting. Di antara pegawai atasan polis yang dibunuh ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak pada 7 Jun 1974. Kemudiannya Tan Sri Koo Chong Kong, ketua polis Perak, turut dibunuh pada 13 November 1975. Khoo diganti oleh Tan Sri Yuet Yuen Leng sebagai ketua polis Perak.

Yuet ialah seorang pejuang yang luar biasa. Beliau cedera ditembak ketika menyerbu kem komunis pada awal kerjayanya. Beliau juga adalah di antara pegawai Cawangan Khas yang diberi amanah oleh Tun Razak Hussein untuk pemimpin kempen menentang komunis di Sarawak pada awal 1970-an. Ketika menjadi ketua polis Negeri Perak, PKM cuba membunuhnya sebanyak 3 kali. Anak perempuannya hampir berjaya diculik mereka. Yuet adalah seorang perancang strategi yang amat cekap dan berjaya membendung kegiatan komunis di Perak dan Sarawak. Saya pasti tidak ada seorang pun penjaja-penjaja kebencian hari ini yang pernah berkorban seperti Yuet. Dan saya ragui mereka akan sanggup berkorban seperti Yuet jika menghadapi keadaan yang sama.

Saya berharap fakta-fakta di atas menyahkan hipotesis (kalau pun layak dipanggil hipotesis) Abdullah Zaik kaum Cina dibawa ke sini oleh British sebagai penceroboh untuk membuli orang Melayu. Saya menulis artikel ini kerana di antara respon yang saya terima terhadap artikel saya mengenai penjaja kebencian ialah daripada penyokong Abdullah Zaik. Mereka berkeras mengatakan dakwaan beliau adalah “fakta sejarah” dan saya perlu mengkaji sejarah. Saya kemukakan fakta-fakta sejarah di sini. Nyata sekali “fakta sejarah” Abdullah hanyalah tahyul. Bersediakah Abdullah dan Isma mengubah pendirian mereka berdasarkan fakta-fakta sejarah yang dikemukakan di sini?

Sebagai ahli akademik saya cenderung untuk mempercayai ilmu akan dapat memupuk pemikiran rasional dan saintifik serta membebaskan kita daripada kepercayaan tahyul. Tetapi saya juga tahu setengah orang terlalu kuat dicengkam prejudis dan kebencian.

Mereka mendapati ilmu dan kebenaran sukar diterima. Sebaliknya, mereka lebih suka menggunakan tahyul sebagai “sejarah”. Bila tahyul mencengkam pemikiran seseorang, dia akan melihat jembalang di mana-mana saja dia memandang. Bagi penjaja-penjaja kebencian, mereka akan sentiasa menyalahkan orang lain bagi semua masalah orang Melayu.

Mungkin mereka juga akan menyalahkan orang Cina sebagai punca kadar penceraian yang semakin meningkat, penagihan dadah, masalah Mat Rempit, kemunduran pendidikan, dan jangkitan HIV yang tinggi di kalangan orang Melayu.

Walaupun menggunakan identiti Islam, Abdullah Zaik tidak banyak berbeza daripada dukun dan pawang yang menyalahkan jembalang, hantu dan jin sebagai punca berbagai penyakit. Sekiranya kita menganggap amalan dukun dan pawang sebagai penyelewengan dan kesesatan, demikianlah juga dengan ideologi tahyul yang dibawa penjaja kebencian. – 14 Mei, 2014.

* Penulis ialah seorang profesor di sebuah IPTA yang bimbang akan masa depan dan bentuk Islam yang akan diwarisi cucunya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Advertisements
One Comment leave one →
  1. Cognitive Dissonace permalink
    May 16, 2014 3:49 pm

    YB DR. Kurikulum sejarah berperanan bentuk pemikiran masyarakat. Misconception berleluasa dlm masyarakat yg mengalami sindrom cognitive dissonance dlm hal-hal yg melibatkan sejarah evolusi bangsa, begitu juga evolusi tradition, practices & belief system. Masyarakat yg dibelenggu oleh sindrom ini cenderung berpolar dalam pelbagai kumpulan mengikut kecondongan school of thought pemimpin. Muslims across the globe juga mengalami sindrom yg sama. Menurut analisis CIA, mereka berpolar dalam beberapa spesies : fundamentalist, traditionalist, secularists dll . Masing-masing punyai kurikulum sejarah tersendiri utk menjustifikasi spesies mereka lebih Islamic. Analsis buku teks Islamic Studies di Arab Saudi didapati mengandungi fakta sejarah yg menjustifikasi perlunya membenci / memusuhi penganut agama lain selain Islam. Mungkin Israel juga punyai kurikulum sejarah yg menjustifikasi bangsa Israel lebih mulia dr bangsa lain. Let’s glance thro our History Syllabus.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: