Skip to content

Merungkai perpecahan Melayu (Sinar Harian)

April 8, 2014

Dr Dzulkefly Ahmad

SAYA mulakan penulisan ini dengan tajuk perpecahan bangsa Melayu. Sebabnya, kerana persoalan ini acap kali dikemuka kepada saya di pentas forum dan masih tidak tertulis.

Buat permulaan izinkan saya tanya pembaca, benarkah Melayu berpecah? Jawapannya tidak semudah pilihan binari; ya atau tidak. Mungkin lebih mudah untuk mentakrif Melayu.

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu itu  mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu. Nah kemelayuannya terletak pada Islamnya, adat dan bahasanya.

Tegasnya, agama orang Melayu itu Islam. Di segi itu, kedudukan orang Melayu istimewa. Walau dari gugusan mana sekali pun, Melayu disatukan Islam. Takrif ini telah menyatukan umat Melayu.

Tidak timbul Melayu berpecah kerana Islam, meskipun wujud ikhtilaf atau perbezaan di segi kefahaman dan amalan. Sangat sengit, contohnya terkini tentang penggunaan Kalimah ALLAH oleh bukan-Islam.

Maka mengajak Melayu bersatu dengan Islam bukan lagi satu imperatif atau kemestian. Hanya memaknakan penyatuan ini memerlukan pencerahan.

Beralih kepada proposisi apakah perpecahan Melayu kerana politik? Benarkah politik Melayu berpecah sejak awal? Jawapannya tidak. Sebabnya secara logik, untuk berpecah Melayu mesti pernah bersatu dulu di segi wadah perjuangannya. Hakikatnya pernahkah umat Melayu bersatu? Secara akademiknya tidak pernah.

Sebaliknya perjuangan era pra-kemerdekaan menyaksikan amalan kepelbagaian parti. Bangsa Melayu menunjukkan sikap toleransi dalam amalan kepelbagaian parti.

Sejarah awal politik menemukan kita dengan Kesatuan Melayu Muda seawal 1937. Parti Politik Baru Melayu muncul setelah tamat Perang Dunia Kedua yakni Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKMM juga punya pelbagai wadah seperti Angkatan Pemuda Insaf (Api),
Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan Majlis Agama Tertinggi Malaya (Mata).

Syor Malayan Union dari British mencetus penentangan kaum Melayu besar-besaran. Episod penggemblengan bantahan melahirkan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu, Umno, pada 1946.

Ringkasnya, Umno mengemudi pencapaian kemerdekaan dengan pendekatan diplomasi sementara wadah perjuangan kemerdekaan lain memberikan tentangan politik secara konfrontasi kepada British. Aktivisme serta dinamika perjuangan politik tanah Melayu menarik.

Jelasnya, konstruk politik dan sistem demokrasi kepelbagaian parti terbina sejak berzaman. Umno berterusan memerintah negara, sama ada dalam Perikatan, kemudian dalam Barisan Nasional (BN), tidak bersama semua kelompok Melayu. Tidak timbul isu perpecahan Melayu.

Maka gugatan Melayu bakal kehilangan kuasa kalau tidak bersatu, ganjil kerana tidak punya naratif serta merit sejarah. Yang ketara, gembar-gembur perpecahan Melayu berulang setiap kali Umno, tercabar apabila kehilangan kuasa dua-pertiga majoriti di Parlimen.

Itu letak duduk perkara perpecahan Melayu dalam konteks politik. Ruang menghurai terhad. Apabila terus diterjah untuk bersatu, penulis memajukan satu paradigma di luar kotak.

Ini huraiannya. Ya, memang ada yang Melayu wajib bersatu. Melayu tidak punya pilihan. Sebaliknya, kalau umat Melayu enggan bersatu sekalipun, ia tetap menjadi kemestian. Bagaimana?

Penyatuan Melayu dalam formula ini mewajarkan pelbagai parti politik orang Melayu kekal, sama ada dalam Umno, Pas atau PKR atau dalam koalisi Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Ini erti bersatu dalam menunaikan tuntutan Semak-Imbang yang dianjurkan al-Quran (Al-Baqarah: 25) dalam kerangka siyasah syariah (politik Islam) bertujuan mencapai maqasid syariah dalam konstruk pemerintahan multi-party.

Bangsa Melayu mesti bersatu memartabat Islam sebagai Agama Persekutuan bagi menyerlahkan Islam sebagai agama rahmat yang menjamin keadilan dan kemakmuran untuk semua.

Islam mesti mendamaikan keberantakan pertentangan agama dan menjalin persaudaraan manusia sejagat, merentasi semua tembok pemisahan sekali gus membanteras perkauman sempit.

Bangsa Melayu mesti bersatu  dengan mengukuhkan institusi-institusi demokrasi. Umat Melayu mesti bertekad mensejahterakan rakyat dengan membangunkan sebuah ekonomi yang berdaya-saing, mapan, bebas rasuah, ketirisan, salah guna kuasa, bebas pembolotan serta pembaziran.

* Penulis Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: