Tawaran Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk membawa Padiberas Nasional Berhad (Bernas) keluar daripada Bursa Malaysia atau “penyahsenaraian” dibuat untuk kali kedua pada 4 Februari lalu. Cubaan pertama dibuat tokoh korporat ini pada bulan Mac 2013.
Peguam Ilustrasi Hikmat, syarikat pemegang saham minoriti yang menyaman Syed Mokhtar, Bernas dan Tradewinds (M) Berhad, mendakwa wujud bukti dalam terma-terma penswastaan serta perjanjian antara kerajaan dan pemilik Bernas asal yang tidak mengizinkan Bernas dimiliki oleh “satu” individu.
Peguam Ilustrasi Hikmat membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah kalah di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 27 November, 2013. Ekoran itu, syarikat ini mendapat penangguhan perbicaraan atau “stay of proceeding” atas perbicaraan rayuan mereka Disember lalu.
Mereka juga memohon untuk memberikan bukti-bukti baru dalam rayuan dan Mahkamah Rayuan menetapkan 30 April depan bagi mendengar pengurusan kes atau “case management”.
Ini pastinya akan mengendalakan Bernas untuk dibawa keluar daripada bursa. Andainya kemenangan berpihak kepada Ilustrasi Hikmat, ini akan menggagalkan sama sekali harapan Syed Mokhtar untuk menjadikan Bernas miliknya. Perhatian para penganalisis rata-rata menumpu kes membabitkan usaha tokoh korporat ini menambah penguasaan empayarnya.
Dalam waktu keghairahan usaha ini wujud satu kepelikan. Setelah gagal meyakinkan pemegang saham menjual saham mereka pada harga RM3.70 seunit Mac lalu, mengapa tokoh koroporat ini masih menawarkan harga yang sama pada cubaan kedua?