OLEH MD IZWAN (TMI)
February 14, 2014
Asri Buang semasa berucap di majlis perasmian mesyuarat agung kali ke-2 Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) yang diadakan di Kelab Darul Ehsan. – Gambar
The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 Februari, 2014.
Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) mendakwa tindakan mengheret Mejar Zaidi Ahmad ke Mahkamah Tentera sebagai ugutan kepada pengundi tentera.
Kumpulan NGO bekas anggota keselamatan itu menuduh pendakwaan ke atas bekas Pegawai Pemerintah Skuadron 12 Pengkalan Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersebut bermotifkan politik demi menjaga pemerintah Barisan Nasional (BN).
“Tindakan seperti ini seolah-olah ingin menggugut anggota tentera semasa pilihan raya akan datang.
“Kami melihat kepentingan negara mengatasi segala-galanya,” kata presidennya, Asri Buang dalam sidang media sempena perasmian mesyuarat agung kali ke-2 Pahlawan hari ini.
Asri juga mendesak supaya pertuduhan ke atas Zaidi digugurkan supaya imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak tercalar dengan kontroversi tersebut.
“Dengan ini Pahlawan mencadangkan pertuduhan terhadap Mejar Zaidi digugurkan serta-merta demi menjaga imej dan maruah ATM,” katanya lagi. – 14 Februari, 2014