Skip to content

Meniti Liku-Liku ‘Rencana Kajang’ – Peringatan buat Pemimpin Pakatan.

February 13, 2014

Liku-Liku ‘Rencana Kajang’ – Peringatan buat Pimpinan Pakatan Rakyat.

  1. Penulisan ini menyambung “Mengapa saya sokong Rencana Kajang”. Ia tidak lengkap bahkan ‘tempang’ kalau tidak disusuli segera dengan penulisan ini.
  2. Sebagai ingatan, penulis majukan Rencana Kajang (RK) dari perspektif kerangka kerja sebuah ‘Muafakat Politik’. Pakatan Rakyat adalah antara hasil ijtihad Parti Islam SeMalaysia, PAS, dalam menyerlahkan konsep serta pengalaman ‘Muafakat Politik’ atau ‘Tahaaluf Siyasi’ sebuah Gerakan Islam dalam era penglibatan demokrasi abad 21 Masehi atau 14 Hijrah.
  3. Kejayaan PAS mengemudi bersama penglibatan ini sekaligus meninggalkan satu ‘tanda-aras’ atau ‘Milestone’ dan “Benchmark’ yang signifikan dalam naratif Gerakan Islam Kontemporari. PAS sangat cemburu untuk memastikan ‘Tajribah’ atau ‘Eksperimen’ ini berjaya.
  4. Bagi mengingatkan pembaca kembali, penulis menyokong keharusan RK justeru untuk mempertahan Kerajaan Selangor dari ‘serangan ganas’ lawan dan seterunya. Sehingga kini, pelbagai asakan dan provokasi telah dilancarkan samada di atas garis agama mahupun perkauman. Ia adalah dalam rangka prinsip “Menolak Kemudharatan” atau “Dar ul Mafasid”.
  5. Dengan itu juga ‘Rencana Kajang’ merupakan salah satu “Faktor Kritikal Kejayaan” (CSF) dalam Pelan Strategik Menawan Putrajaya. Di satu segi lain, ia adalah ‘kelainan langkah’ Pakatan Rakyat dalam memunggarkan perjuangannya.
  6. PR mengajak rakyat mendayakan pembangunan semula Negara sebagai ‘Maju dan Bermaruah’.
  7. Umno-BN sebaliknya, ditanggapi sedang melalui era ‘tepu dan beku’, kini mengambil laluan ‘ekstremise agama dan perkauman’ untuk mengekalkan relevensinya dalam persaingan PRU ke-14 ini. Umno menaruh segala pergantungan kepada sokongan tegarnya, di segi dimensi ‘afektif atau emosi’ yang berteraskan ketakutan dan kegusaran satu kaum dan anutan agamanya secara sempit.
  8. Andainya Selangor mampu dipertahankan PR dengan gandingan kekuatan pengurusan ekonomi TSKI bersama kekuatan akumen politik DSAI bersama-sama keupayaan pemimpin PAS dan DAP yang lain, maka Selangor mampu diperagakan sekaligus tampil sebagai ‘the Leading State of the Federation’ atau ‘Negeri Contoh dan Idaman’ dalam Persekutuan Malaysia.
  9. Pencapaian cemerlang ini adalah sangat dihajatkan bagi meyakinkan rakyat di negara ini bahawa Pakatan Rakyat bersedia menawan dan memerintah Putrajaya.
  10. Kita tekad dan berazam untuk mewujudkan keharmonian hidup di antara agama dan kaum serta mengecapi sumber kekayaan Negara secara adil dan bermaruah dengan tidak dibolot secara rakus oleh segelintir manusia yang mempunyai ‘hubungan sumbang’ dengan penguasa politik.
  11. Dengan naratif yang sebegini murni, persoalan besar yang mesti dijawab sendiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat sekarang adalah “Apakah yang bakal menghalang usaha merealisasikan cita-cita murni ini?”
  12. Beredar dari huraian tentang bagaimana lawan dan seteru akan bakal mewujudkan pelbagai halangan dan rintangan, penulis mahu menumpu kepada cabaran dan ancaman yang terbit dari dalam Pakatan Rakyat sendiri.
  13. Sudah amat jelas bagaimana seteru politik PR akan memunggah segala cara dan menggunakan segala saluran baik undang-undang mahupun institusi-institusi Negara termasuk Kuasa Sultan untuk menghalang kejayaan murni mengukuhkan ‘Matlamat Strategik’ Rencana Kajang ini. Itu sudah barang pasti!
  14. Namun yang hendak dibicara penulis secara serius dalam ruang sempit ini adalah ‘Halangan yang bakal terbit dari Dalaman Pakatan Rakyat” itu sendiri. Ini lebih menggusarkan dan menakutkan penulis. Bahkan gambaran senario yang mampu dilakar meninggalkan kekhuatiran yang bukan kepalang.
  15. Penulis ungkapkan ‘Kemudharatan yang lebih besar’ sebagai satu ‘Penyebab’ atau Penghalang yang tidak mengizinkan ‘Rencana Kajang’ dilakukan, seandainya tidak mampu diuruskan dengan baik dan cermat oleh pimpinan PR.
  16. Meringkaskannya, isu kedudukan Menteri Besar selepas kemenangan dicapai di PRK Kajang adalah sangat kritikal. Penulis mengingatkan semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa jangan sampai kita pula yang hilang kewajaran dan kompas perjuangan ketika bertegas membuat pendirian serta ketetapan masing-masing.
  17. Walau bagaimana hebat hujjah kita, penulis suka untuk mengingatkan bahawa kesemuanya mesti dikembalikan kepada asas perhitungan “Maslahah Kully” dalam konteks “Muafakat Siasah” PR, yakni ‘Apakah ia mampu memenangkan ‘Matlamat Strategik’ yang didukungi dan dikongsi bersama?
  18. Dalam mendepai isu MB nanti, “Apakah pendirian kita, yang kini menjadi harapan rakyat, untuk menumbangkan kerajaan UBN, satu yang masih mampu dicapai?”
  19. Ataukah dalam kegelojohan tindakan kita masing-masing, akhirnya PR yang bakal tumbang dahulu, sebelum musuh dan seteru kita? Kita yang bakal terbunuh dengan pedang kita sendiri dan menembak kaki-kaki kita sendiri.
  20. Sebelum kita bermudah menggunakan kalimat seumpama‘kita bersedia berpatah arang’ atau ‘kita bersedia break-rank’ atau ‘kita bersedia berjuang bersendiri’, atau ‘kita kita tidak sanggup berkorban prinsip perjuangan’ wal hal ‘prinsip’ yang mana yang kita maksudkan pun tidak ketentuan.
  21. Maka penulis minta supaya setiap seorang pemimpin bersama sahabat-sahabat mereka, dalam parti-parti komponen Pakatan Rakyat, termasuk diri ini, berfikir masak-masak, dalam-dalam dan jauh-jauh segala implikasi dan risiko tidakan.
  22. Apakah pendirian kita masih berpijak di atas maklumat dan ilmu serta semangat menjunjung cita-cita bersama? Ataukah kita bakal dipersepsi umum sebagai dikuasai emosi dan menuruti kepentingan diri-kelompok sahaja?
  23. Nah, tanpa perlu melakar senario ‘kebrentakan’ dan ‘krisis’, memadai penulis ingatkan yang memahami “Fiqhud Siyasi” dan “Qawaid Fiqhiyyah” bahawa segala hujjah yang digunakan awal tadi bagi “Mengharuskan” dan “Mewajarkan” ‘Rencana Kajang’, kini sudah jelasnya berada dalam lingkungan hukuman “La Yajus…” – “Tidak Dizinkan”. Sebabnya? Amat jelas.
  24. Apabila kita menyandarkan tindakan RK dengan mahukan ‘Menutup Pintu-Pintu Kemudharatan’ bagi perjuangan, namun pada penghujung tindakan, kita pulak yang “Membuka Pintu-Pintu Kemudharatan”,maka ia adalah sangat dipertikaikan. Penulis sangat tidak senang untuk mengulas secara terperinci seperti kedengaran dalam ruang media sosial.
  25. Mendengarnya sahaja sudah cukup menggusarkan. Dalam ruh tuntutan berwaspada atau ‘hazar’, penulis terpaksa menyebutkan sebelum berlaku segala yang tidak diingini. Biar pun ada yang kurang senang namun ia wajar disebut. Apakah penulis sengaja menakut-nakutkan dengan pendekatan ‘alarmist’? Tentunya tidak!
  26. Maka jelas kalau begitulah kesudahannya, RK telah menjadi musuhnya sendiri yakni ‘petualang dalam skima strategi perjuangan Pakatan Rakyat. Dalam unjuran ‘Senario Paling Buruk’ (Worst Case Scenario), RK  membawa ‘Mala-petaka’ dan ‘Perpecahan’ bagi seluruh Muafakat Politik Pakatan Rakyat!
  27. Sangat Malang jika ia berlaku, wal’iyyazubilLah! Minta AlLah SWT Ta’ala jauhkan dan selamatkan perjuangan murni ini!
  28. Namun sebaliknya, penulis masih mahu menaruh keyakinan bahawa pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan bertindak matang, bijak dan cemerlang apabila sampai waktunya..biiznilLah.

 Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: