Bantahan terhadap penggunaan perkataan Allah dalam Alkitab oleh Solidariti Umat Islam Daerah Klang di Padang Sultan Sulaiman Klang. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 5 Januari, 2014.Pemimpin PAS menyarankan Rekonsiliasi Nasional dilakukan segera antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR) serta lain-lain pihak dalam menghadapi kemelut yang sedang melanda negara.
Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, masanya sudah tiba untuk melaksanakan saranan itu tetapi bukannya kerajaan perpaduan.
“Dengan kos sara hidup yang meningkat dan pertentangan antara agama yang meletus kembali, agenda Rekonsiliasi Nasional mesti diperhalusi bukan Kerajaan Perpaduan – bagi menangani kemelut dan pelbagai pertentangan yang semakin kusut termasuk kesejahteraan rakyat,” cadang AJK PAS Pusat itu.

Cadangan Rekonsiliasi Nasional dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja menang dengan majoriti mudah dan hilang undi popular dalam pilihan raya ke-13 lalu.
Namun ia tidak pernah dilaksanakan dan senyap begitu sahaja selepas itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mencadangkan agenda ini untuk kepentingan negara.
Kata Dr Dzulkefly, berdepan dengan dua cabaran besar ini menuntut satu penyelesaian yang tegas, tuntas, berwibawa dan dihormati semua pihak.
Bagi beliau, impak kos sara hidup ke atas rakyat akibat langkah-langkah menangani hutang kerajaan pusat bukan sesuatu yang mudah ditangani.
“Himpitan kepada keluarga dan anak-anak, mencari pendapatan tambahan, ibu bapa terpaksa membuat kerja tambahan, kenaikan kadar jenayah, kemalangan dan sebagainya perlu ditangani bersama.
“Begitu juga garis dan suhu pertentangan antara agama dan pertikaian bidang kuasa undang-undang yang semakin meruncing,” kata beliau.
Isu kalimah Allah dan serangan Jais ke atas premis gereja-geraja telah menghilangkan ketenteraman dan keharmoniaan.