Skip to content

Pakatan: Pelaksanaan CCRIS PTPTN menindas, gesa tangani kos sara hidup tinggi

August 20, 2013

OLEH MD IZWAN (TMI)
August 20, 2013
Latest Update: August 20, 2013 01:24 pm

Langkah menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah menindas, kata Pakatan Rakyat (PR), sambil menggesa Putrajaya tangani peningkatan kos sara hidup.

Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong (gambar) membidas Putrajaya kerana tidak memahami masalah asas membabitkan pinjaman PTPTN tetapi sebaliknya mengambil langkah yang cuba menindas rakyat Malaysia khususnya golongan muda.

“Saya tidak setuju dengan langkah kerajaan yang saya anggap sebagai menekan ini.

“Kerajaan sepatutnya mereformasikan PTPTN dan bukannya mengambil langkah untuk menyenaraikan peminjam dengan Bank Negara,” katanya kepada The Malaysian Insider mengulas pengumuman Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh mengenai rancangan menggunakan CCRIS.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, langkah itu sama sekali membuktikan kerajaan tidak prihatin terutama kepada graduan baru di mana mereka terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi tetapi bayaran gaji tidak setimpal.

“Kerajaan tidak pernah ambil pengajaran semasa pilihan raya lalu.

“Sebagai contoh, jika pelajar pinjam RM50,000, mereka terpaksa bayar dalam tempoh 10 tahun. Bayangkan dengan gaji antara RM2000 ke RM3000, bagaimana mereka mahu bayar? Setiap bulan kena bayar RM450, ia adalah suku daripada gaji mereka. Dengan kos hidup yang tinggi bagaimana mereka hendak hadapinya,” katanya.

Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan langkah itu sebagai tidak adil ketika anak muda berdepan dengan kos sara hidup tinggi serta pada masa sama terpaksa membayar pinjaman PTPTN, sedangkan agensi dan syarikat kerajaan mendapat pinjaman tanpa syarat ketat dikenakan.

“Langkah ini juga tidak adil, ketika kerajaan mahu hutang dilangsaikan tetapi mereka dengan mudah memberikan pinjaman kepada syarikat dan agensi berkaitan kerajaan dengan sewenang-wenangnya.

“Seperti Syabas, NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan) dan banyak lagi geran yang kerajaan beri tanpa pula diminta bayar balik seperti yang mereka lakukan kepada peminjam PTPTN,” kecam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu.

Nik Nazmi berkata, PR tetap komited dengan tawaran mereka untuk memberikan pendidikan percuma seperti yang dibawa dalam manifesto pilihan raya lalu.

“Bagi PR, kita sudah menegaskan pendirian bahawa jalan penyelesaian adalah menerusi pendidikan percuma dan kita sudah bentangkan mekanisma untuk menggantikannya,” katanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), berkata langkah itu hanya memberi kesan untuk jangka masa pendek dan menggesa kerajaan menyelesaikan masalah utama terlebih dahulu iaitu isu pendapatan.

“Kita perlu memikirkan jangka masa panjang dan jangan lihat kepada perspektif bank sahaja.

“Kerajaan perlu lihat kepada isu pelajar yang meminjamnya, perlu lihat kepada isu sebenar mengenai pendapatan. Adakah ia meningkat selepas mengambil kira inflasi,” katanya.

Beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan dan Bank Negara menjelaskan kesan daripada langkah CCRIS itu kepada peminjam PTPTN.

Isu pendidikan percuma paling lantang disuarakan oleh PR yang menggesa pemansuhan  PTPTN dan menggesa kerajaan dipertanggunjawabkan untuk menyedia pendidikan tinggi percuma kepada rakyat.

Malah, semasa pilihan raya ke-13 lalu PR juga memasukkan pendidikan percuma dalam manifesto mereka sebagai usaha untuk mendapat sokongan daripada golongan muda yang tersepit dengan pinjaman itu.

Sehingga Februari tahun ini, Kementerian Pendidikan memberikan sebanyak RM48.59 bilion kepada peminjam PTPTN.

Malah, desakan oleh PR pada pilihan raya lalu menyebabkan juga Putrajaya terpaksa memperkenalkan pemotongan 10 ke 20 peratus diskaun kepada peminjam yang membayar hutang PTPTN bagi meningkatkan kutipan hutang pinjaman pendidikan tersebut.

PR menegaskan sekiranya kerajaan  menghentikan ketirisan belanja yang dianggarkan bernilai RM28 bilion setiap tahun, maka ia boleh menanggung kos membayar hutang PTPTN penuntut di seluruh 21 universiti  yang ada di negara ini. – 20 Ogos, 2013.

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: