Skip to content

Najib dan Petronas: Jangan tunggu rakyat marah baru hendak berubah

May 29, 2013
Hazayani Zakaria, HarakahDaily 29 Mei 2013

KUALA LUMPUR: PAS menyarankan audit dilakukan terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus tadbir Petronas yang dilihat semakin tidak jelas hala tujunya.

Institut kajian dasar yang mempromosikan tatakelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggungjawab, Revenue Watch Institute (RWI), meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46 peratus dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara.

Kedudukan itu dikeluarkan dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) bagi tahun 2013.

Kedudukan ini jauh lebih rendah dari negara-negara jiran seperti Timor Leste, (13), Filipina (23), dan Indonesia (14).

Malah Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi iaitu di tempat ke 26.

Pada 2010, Malaysia memperoleh markah sebanyak 48.4 peratus dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparency International (TI).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat berkaitan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperoleh serta tidak jelas.

“Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petrnas membelanjakan kira-kira RM35 hingga 40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya.

“Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan.

“Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya pada sidang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Beliau juga berkata, maklumat tentang kriteria-kriteria yang diguna pakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas.

“Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulit jelasa memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini.

“Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Kontrak Petronas berlegar di kalangan kroni

Selain itu, Dzulkifly juga mempersoal tindakan Petronas yang mengagihkan kontrak kepada syarikat kroni sahaja seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi.

Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula katanya, kontrak dibolot oleh syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean yang diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas.

“Sehingga dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Datuk Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini,” katanya lagi.

Petronas juga memperkenalkan konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil yang dipanggil Risk Service Contract (RSC).

Pemenang-pemenang kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat yang sama iaitu SapuraKencana, Dialog, Petra dan sebagainya.

Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenang kurang jelas.

“PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyal Bubu di perairan Terengganu dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat kroni yang dinamakan.

“Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding terus,” katanya.

Teks Penuh :

Najib dan Petronas – Jangan tunggu kemarahan rakyat baru hendak berubah!

Petroliam Nasional atau Petronas adalah syarikat minyak negara yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA, 1974), sebagai perusahaan kepunyaan negeri (State Owned Enterprise) yang mempunyai hak eksklusif pemilikan, penerokaan dan pengeluaran. Petronas adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan bertanggungjawab bagi perancangan, pelaburan dan kawal selia bagi semua aktiviti huluan atau upstream serta perlantikan Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan ahli Lembaga Pengarahnya.

Petronas merupakan penyumbang terbesar hasil kewangan kerajaan. Ketidakcekapan dan kepicangan tadbir-urusnya boleh menimbulkan risiko krisis kewangan kerajaan. Sejak tahun 2008, Petronas telah menyumbang secara konsisten sebanyak RM 70 bilion setahun, di mana RM 30 bilion dalam bentuk dividen tetap (fixed dividend), dan bakinya dalam bentuk cukai hasil, cukai petroleum, duti, royalti dan sebagainya.

Revenue Watch Institute (RWI), sebuah institut kajian dasar yang mempromosikan tata-kelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggung jawab dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) (http://www.revenuewatch.org/rgi ) bagi tahun 2013 telah meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46% dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara. Petronas gagal dalam kriteria-kriteria penting dalam tata-kelola (governance) khususnya ketidaktelusan dan ketiadaan pemantauan (oversight) dari pihak legislatif (parlimen).

Kedudukan ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara tetangga kita seperti Timor Leste (no 13), Filipina (no 23) dan Indonesia (no 14). Malah, Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi di tempat ke 26. Pada tahun 2010, Malaysia telah memperolehi markah sebanyak 48.4% dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparecy International (TI).

Tatakelola serta pengurusan sumber minyak dan gas di Malaysia dikategorikan oleh RWI sebagai lemah dan kurang telus. Petronas beroperasi dalam suasana yang penuh dengan kerahsiaan.

Maklumat berkenaan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperolehi serta tidak jelas. Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petronas membelanjakan kira-kira RM 35-40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya. Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan. Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Maklumat tentang kriteria-kriteria yang digunapakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas. Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulitkan jelas memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini. Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas.

Yang sering kedengaran, kontrak-kontrak Petronas sering berlegar di kalangan syarikat-syarikat kroni seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi, sekadar menyebut beberapa contoh. Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula, kontrak-kontrak sering dibolot oleh syarikat-syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean; kesemuanya diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas, sehinggakan dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan, sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Dato’ Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini.

Mutakhir ini, Petronas telah memperkenalkan suatu konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil (marginal field) yang dipanggil Risk Service Contract (RSC). Sekali lagi pemenang-pemenang kontrak-kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat-syarikat yang sama – SapuraKencana, Dialog , Petra dan sebagainya. Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenangnya kurang jelas.

PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyak Bubu di perairan Terengganu, dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat-syarikat kroni yang dinamakan di atas. Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding-terus.

Petronas sekarang tidak mempunyai halatuju yang jelas terutamanya dalam industri huluan (upstream) yang menjadi nadi penting ekonomi Negara.

Petronas sedang mengalami simptom-simptom yang sama seperti yang pernah dialami oleh syarikat minyak nasional Indonesia, Pertamina, di zaman Suharto. Di zaman Suharto, Pertamina telah disalahgunakan semahu-mahunya oleh diktator berkenaan serta kroni-kroninya hinggakan syarikat tersebut hampir lumpuh.

Ironinya kita memandang sinis Pertamina hingga sekarang, tetapi hakikatnya syarikat minyak kita sendiri sedang berhadapan dengan liku-liku rumit yang pernah ditempuhi Pertamina 15-20 tahun yang lalu. Akibat campur tangan politik peringkat tertinggi serta ketiadaan pengurusan tertinggi yang berwibawa, Petronas kini seolah-olah kehilangan arah, dan menuju ke situasi yang pernah ditempuhi oleh Pertamina dahulu.

PAS dengan ini mencadangkan agar disegerakan suatu audit menyeluruh terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus-tadbir. Satu kajian semula dengan objektif untuk meminimakan birokrasi dan proses dalaman Petronas juga perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera untuk meningkatkan semula daya-saing Petronas serta kepercayaan rakyat kepada syarikat minyak negara ini.

Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda dan kuasa mutlak yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk menentukan halatuju dan urus tadbir Petronas perlu dipindahkan kepada Badan Legislatif. Biar Parlimen yang menentukan perjalanan Petronas secara kolektif dan konsensus.

Kerajaan BN pimpinan Dato’Seri Najib dingatkan minyak dan gas anugerah Allah SWT kepada bumi Malaysia dan setiap rakyat negara ini mempunyai hak untuk mendapat maklumat penting tentang tatakelola dan pengurusan sumber berharga negara ini.

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Pusat. 29 Mei 2013.

Advertisements
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: