Skip to content

Aishah – paduan seni dan daya fikirannya

November 20, 2012
Abdul Shukur Harun, 19 Nov 2012

Penyanyi Aishah adalah artis yang memiliki bukan saja bakat di bidang seni suara, tetapi juga mempunyai daya fikir yang mendalam dan kreatif. Oleh itu penyertaannya ke dalam PAS bukan semata-mata dalam istilah ‘berhijrah’ dari dunia seni/hiburan kepada dunia politik, tetapi juga penampilannya di bidang baru, hasil pengamatannya terhadap perjuangan PAS, sebuah parti politik arus perdana yang berakar kepada Islam.

Tentu agak aneh kelihatannya, tetapi begitulah keadaannya apabila Allah s.w.t. mengehendakinya.

Saya bertemu dengannya dan beberapa artis lain di sebuah restoren ternama selepas menjayakan Malam Kesenian sempena Muktamar PAS Ke-58 di Putik, Kota Bharu malam Sabtu lalu yang mendapat sambutan meriah. Saya cuba meninjau pemikirannya mengapa beliau menyertai PAS, apa pandangannya terhadap perubahan yang dilakukan di dalam PAS dan bagaimana beliau melihat adakah ruang dan peluang bagi kalangan artis meneruskan bakat seni mereka selepas ‘berhijrah’ kepada PAS.

Aishah memberikan jawapan yang sangat menarik terhadap pertanyaan saya kepadanya. Ternyata artis yang satu ini mempunyai pemikiran yang mendalam akan erti kepalsuan dan kebenaran, justeru kerana itu setiap pertanyaan yang diajukan, saya menerima jawapan yang sangat meyakinkan.

Bayangkan seorang artis yang selama ini dikenali dengan kemerduan suaranya telah memiliki daya fikir yang menjangkau jauh, mungkin ada di kalangan ahli PAS sendiri yang belum mencapai tahap pemikiran mendalam seperti ini.

Saya memberitahunya bahawa kini PAS sudah banyak membuat perubahan bukan saja dengan ijtihad politiknya – melalui Tahalluf Siasinya – tetapi juga keterbukaanya hingga ia menjadi sebuah parti yang inclusive, bukan lagi sebuah parti yang exclusive.

Jawapan Aishah ialah: “PAS perlu berhati-hati dan perlu melakukan perubahan ini secara perlahan-lahan, bukan secara drastic. Jika melakukannya secara drastic, ini bahaya kepada PAS sendiri.”

Sebabnya, katanya, ialah dia bimbang nanti PAS akan menghadapi masalah serius dengan kalangan penyokong tradisi PAS selama ini, khususnya golongan lama yang selama ini menjadi kekuatan PAS sejak lama.  Beliau khuatir mereka ini akan ‘menjauhi’ PAS, kalaupun tidak meninggalkannya terus, kerana perjuangan Islam PAS begitu sebati dengan mereka.

Dari itu, kata Aishah, berhati-hatilah, ‘jangan yang dikejar tak dapat, yang dikandung berciciran’. Apa yang penting, katanya lagi, ialah melakukan perubahan ini secara perlahan-lahan tetapi pasti dan berterusan. PAS di bawah konsep kepimpinan ulama, kataya, sudah sangat bagus.

“Lakukanlah perubahan ini secara bijaksana. Beri perhatian kepada golongan muda, termasuk artis, bersikap terbuka, tetapi dalam masa yang sama berusaha mengekalkan sokongan golongan lama kepada PAS.”

Kebimbangannya, kata Aishah, ialah jika golongan lama ‘jauh hati’, maka itu menyukarkan PAS terutama menghadapi pilihan raya akan datang. Bagaimanapun beliau gembira dengan perubahan di dalam PAS dan melihat PAS memiliki masa depan yang cerah.

Dalam pertemuan itu, Aishah dengan suara perlahan, seolah-olah minta perhatian dan simpati dengan nasib artis wanita sepertinya, dengan memberitahu saya, “Bagaimana dengan suara kami, adakah nak disimpan saja.”

Masalah ini segera diberi jawapan oleh AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkufly Ahmad, bahawa PAS tidak akan meminggirkan artis, termasuk penyanyi wanitanya.

Dr. Dzulkifly memberitahu bahawa syariat Islam begitu luas sekali dan tidak akan meminggirkan atau memangsakan sesiapapun. Hukum Islam (kecuali hukum qat’ie, yang bersifat kekal), yang lain sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa. Sejarah Islam, katanya, telah membuktikannya.

Kelantan sendiri, kata beliau mengambil contoh, dulu atas sebab keadaan masa itu, telah melarang muslimatnya ikut serta dalam Tilawah Al-Quran, tetapi kini sudah dibolehkan atas sebab keadaan masa kini.

Dengan itu kedudukan suara wanita dalam Islam, kata Dr. Dzulkifly, ditentukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut beliau, syariat Islam adalah unggul, anjal dan melindungi semua keperluan dan tuntutan insan termasuk para artis. Oleh itu, katanya, PAS sewajarnya melindungi, memberi ruang luas dan harga diri kepada para artis. Walaupun PAS tidak bersifat sebagai penganjur dan promoter aktiviti seni budaya, tetapi ia memberi panduan, ruang dan peluang serta ruang luas kepada penggiat seni meneruskan kegiatan meteka.

“Kalau kita mengamati seerah Nabi s.a.w. ternyata negara Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. telah memberi peluang dan ruang kepada masyarakat majmuk di Madinah melakukan kegiatan, asalkan tidak melakukan syirik kepada Allah s..w.t.”

Jawapan Dr. Dzulkifly ini sangat melegakan hati Aishah dan beliau merujuk jawapan Dr. Dzulkifly ketika kami membincangkan seterusnya mengenai persoalan kedudukan artis di masa depan dalam PAS dan beliau yakin PAS dapat menangani dengan sewajarnya.

Aishah, dengan latar belakang pendidikannya di bidang sains politik di New Zealand, telah memikirkan secara mendalam ketika akan menyertai PAS. Beliau ternyata seorang artis yang mempunyai elemen intelektual, terutama berdasarkan hujah-hujahnya kepada saya dan sebelum ini apa yang saya ikuti ceramah dan kenyataannya selama ini.

Saya memberitahu Aishah, bahawa PAS lahir selepas lebih 1,400 tahun Rasulullah s.a.w. wafat dan PAS didukung oleh pelbagai golongan dengan latar belakang pendidikan dan lingkungan serta tahaf pemikiran yang berbeza. Oleh itu tentu ada terdapat kelemahan di samping kekuatannya.

Aishah segera menjawab: “Saya sedar hakikat ini bahawa PAS, di samping mempunyai kekuatan kerana memperjuangkan Islam, ia juga dianggotai manusia biasa yang punyai pelbagai kelemahan.”

Oleh itu, kata beliau, dia menyertai PAS kerana meyakini perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam. “Saya menyertai PAS dengan keyakinan penuh terhadap dasar perjuangannya yang tidak berubah. Mudah-mudahan kami dapat memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada perjuangan Islam melalui PAS.”

Beliau dan artis lain – Abby Abadi, Ito dan lain-lain – mengucapkan terima kasih kepada PAS, kepada kerajaan Kelantan dan kepada semua penyokong.

Advertisements
One Comment leave one →
  1. November 20, 2012 7:32 pm

    Pertama “Laksanakan sesuatu perubahan secara gradual”. Kedua “Hambat hati generasi muda”. Golongan muda belia melayu abad 21 kini berhadapan dgn pelbagai situasi kehidupan yg lebih hebat dibandingkan dgn generasi lama khusunya dr segi ledakan maklumat melalui teknologi digital. Ada dikalangan mereka mengalami sindrom “Cognitif Dissonance” iaitu kecelaruan akibat daripada apa yg mereka percaya (Belief System) dgn senario yg berlaku dlm kehidupan. Contoh : Ada yg berpegang kpd kepercayaan bhw dlm konflik Israel-Palestin, Palestin akhirnya akan berjaya merampas kembali keseluruhan bumi Palestin berdasarkan rujukan dari sumber tertentu. Tetapi melihat kpd keadaan ketidaksungguhan pemimpin negara Arab bersepakat memperjuangkan pembebasan Palestine dr cengkaman zionis dan juga berdasarkan kecanggihan teknologi ketenteraan zionis, mereka agak keliru dan ini menggugat kepercayaan mereka sendiri. Banyak insiden dlm arena politik semasa dan hal-hal berkaitan dgn keagamaan yg dimuatkan dlm media massa turut menyumbang kpd kecelaruan pemikiran mereka. Ada yg bertindak memperlekeh pandangan pemimpin agama/ulama atas alasan kecondongan politik seseorang ulama itu. Mereka melihat tida kesepakatan idea dikalangan ulama. Keadaan ini tidak sihat dan tidak akan menyumbang kpd kesuburan kalbu generasi muda. Apatah lagi jika ilmu yg berkaitan dgn agama cetek walaupun ilmu teknikalnya tinggi. Begitu juga dlm hal politik. Mereka memperlekehkan pandangan seseorang ahli politik atas alasan kecondongan politik ahli politik itu. Ini juga tidak sihat bg perkembangan minda generasi muda kerana ia melihat pandangan itu dari perspektif memusnah bukan membina. Generasi muda abad 21 seperti ini dlm banyak hal terlalu bergantung kpd pemikiran aras rendah (low order thinking). Potensi high order thinking kurang digilap. Apatah lagi potensi kerohanian…Tiada pihak yg concern utk ambil inisiatif meningkatkan tahap kerohanian sebilangan besar generasi abad 21 dari “being a muslim” menjadi “being a mukmin” secara terancang dan berpanjangan. Kalu ada pun hanya segelintir. Tak percaya singkaplah tirai blog-blog dlm komputer..lihat bagaimana gaya & rentak mereka berhujah ..ia memperlihatkan kematangan dan potensi berfikir dikalangan mereka..Sudah pasti golongan high order thinking lebih rasa gembira dgn kebanjiran generasi muda yg memilikki LOT…kerana merak mudah dibaham dan didam…mudah dimanipulasi..mudah jadi pengikut dan pak turut… mudah diindoktrinasi…Sewajarnyalah generasi muda perlu diberi perhatian supaya mereka tidak menjadi liability masyarakat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: