Skip to content

Teka-teki tarikh PRU13

August 5, 2012
pada 31-07-2012 03:07 Ditulis Oleh Syed Mu’az Syed Putra (Antarapos.com)

Post Pic

SHAH ALAM: Misteri bila tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sehingga kini masih belum terjawab namun bagi pemimpin parti utama dalam negara masih beranggapan ia akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Bagi Exco Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan “tarikh keramat” itu apabila jentera Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan yang cukup bersedia.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan perkara itu akan terjawab sekiranya Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno mempunyai keberanian untuk mengumumkan pembubaran Parlimen.

Sejak tahun lalu, spekulasi PRU13 akan diadakan dalam tempoh terdekat hangat diperkatakan namun sehingga kini Najib masih merahsiakannya walaupun terdapat banyak desakan agar perdana menteri mengumumkannya lebih awal.

Malah ada yang mendakwa PRU13 akan diadakan ketika musim haji yang menyaksikan bantahan keras Pakatan Rakyat (Pakatan).

Menurut Sohaimi, tarikh PRU13 dan pembubaran Parlimen merupakan kuasa mutlak Najib selaku pemimpin nombor satu dalam pentadbiran negara dan banyak faktor perlu diambil kira sebelum perkara itu diumumkan.

“Saya tidak dapat menjawab secara tepat (bila PRU13 akan diadakan) kerana kita tahu pilihan raya dan pembubaran Parlimen kuasa mutlak perdana menteri, sudah tentu banyak faktor yang diambil kira seperti acara-acara besar dan perkara-perkara yang nak diumumkan termasuk suasana persekitaran seperti musim banjir dan perayaan.

“Dan musim kempen yang dianjurkan ini adalah sekadar mengisi ruang menjelang pembubaran itu tetapi saya secara tepat melihat semua parti-parti politik di Malaysia sekarang dalam keadaan siap siaga di mana semboyan awal dibunyikan dan diwar-warkan kononnya daripada tahun lepas…

“Selepas 2010 kita semua bersiap sedia bukan sahaja Umno malah PAS-PKR-DAP dan semua (parti lain) kerana mereka yakin PRU13 pada masa terdekat tetapi akhirnya ia tidak berlaku,” katanya pada program Diskusi Meja Bulat “PRU13: Bilakah masa paling sesuai?” anjuran Antarapos, Khamis lalu.

Program tersebut turut disertai Dzulkefly selaku wakil kepada PAS dan Panel Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL), Dr Rosmadi Fauzi.

Ketua perang

Tambah Sohaimi, walaupun tidak mengetahui bila tarikh PRU13 akan diumumkan namun semua parti politik tanah air telah menggerakkan jentera selain mengadakan pelbagai program untuk mendekati dan meraih sokongan rakyat.

“…dan menjelang itu seperti saya nyatakan pengisian demi pengisian dibuat untuk mengisi ruang, BN dengan programnya…Umno pun sama, begitu juga PAS, PKR juga sama dan DAP juga sama, masing-masing sedang tertunggu.

“Saya yakin tarih ini akan diumumkan selepas Datuk Seri Najib mengambil kira dari semua sudut dan mempertimbangkan keadaan, sudah tentu bila nak bertempur dalam pilihan raya sebagai ketua perang dan ketua di medan tempur beliau akan memastikan jenteranya siap, bala tenteranya cukup bersedia, baru akan diumumkan,” katanya.

Jelas beliau, jika ia diumumkan dalam keadaan jentera parti tidak bersedia ia akan memberi kesan buruk kepada BN yang telah dinafikan majoriti dua pertiga Parlimen pada piliha raya umum empat tahun lalu.

Selain itu, BN juga kehilangan lima negeri iaitu di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak (sehingga Januari 2009) dan Selangor.

Namun Sohaimi secara peribadi beranggapan PRU13 akan diadakan selewat-lewat penghujung tahun ini atau awal tahun depan memandangkan beberapa bulan terakhir ini dipenuhi dengan perayaan utama iaitu Aidilfitri diikuti sambutan Aidiladha.

“…dan selepas itu bulan Januari dan Mac ada perayaan Tahun Baru Cina dan (mandat) berakhir pada Mac, selepas itu boleh diumumkan untuk 60 hari tapi biasanya jarang diambil masa yang hujung kerana sebagai parti memerintah sudah tentu perdana menteri tidak mahu tunggu sampai saat-saat akhir sebab kalau ada isu berbangkit dan perkara yang ditimbulkan ketika itu kita tiada masa untuk perjelaskan,” katanya.

Paling getir, sengit

Namun bagi Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, PRU13 akan menjadi pilihan raya umum paling getir dan sengit dalam sejarah negara yang bakal menyaksikan pertembungan dua kuasa politik iaitu BN dan Pakatan.

Beliau juga turut menyifatkan Najib kini berdepan dengan cabaran paling besar untuk mengetuai BN dalam PRU13 setelah mengambil alih pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kalau saya kembali menyebutkan cabaran itu bukan sahaja kepada Pakatan mempertahankan empat negeri tetapi lebih penting saya kira yang jadi cabaran paling besar sebenarnya adalah perdana menteri yang memimpin negara dengan belum satu mandat lagi kerana beliau ambil alih dari mantan perdana menteri Pak Lah (Abdullah).

“Jadi oleh kerana itu cabaran itu memang dirasai oleh semua, PRU13 nyata akan menjadi cabaran paling getir, saingan paling sengit dalam sejarah pilihan raya di dalam negara kita ini yang bermula pada 1955 sebelum merdeka lagi.

“Justeru saya kira semua pihak sedang menghitung dan memunggah segala sumber dan kekuatan untuk membuat persiapan ini yang tidak tahu di mana hujungnya,” katanya.

Dzulkefly berkata PRU13 paling lewat boleh diadakan pada Jun tahun depan sambil menambah tidak mahu lagi bermain dengan teka-teki yang boleh diibaratkan seperti watak nujum Pak Belalang dalam filem klasik Nujum Pak Belalang arahan Allahyarham P Ramlee.

“Main teka-teki ini saya sendiri sudah menulis beberapa kali dan saya sudah berhenti membuat teka-teki dan jadi nujum Pak Belalang. Saya rasa kita tunggu perdana menteri punyai keberanian untuk membubarkan Parlimen dan di situ kita akan dapat saksikan sama ada 60 hari atau 25 hari selepas itu diadakan PRU13.

“Saya ingin nyatakan mungkin maksimum yang perdana menteri boleh tunggu bukan Mac tapi kita bersidang April dan ada 60 hari selepas itu dan kita akan teruskan paling lewat atau di hujung Jun,” katanya.

Kelebihan kepada BN

Sementara itu,  Rosmadi pula berpendapat adalah wajar sekiranya tarikh pilihan raya umum ditentukan atau diumumkan lebih awal supaya parti-parti politik dan rakyat selaku kuasa penentu boleh bersiap sedia, menambah spekulasi tersebut kini menjadi satu fenomena dalam kalangan rakyat.

“Daripada apa yang boleh saya katakan adalah keperluan masa, masa yang sesuai untuk penentuan tarikh pilihan raya tapi di sini ingin saya cuba tonjolkan dalam konteks tarikh ini yang saya lihat sebenarnya ada dua iaitu tarikh yang mutlak atau yang satu lagi mungkin boleh saya katakan tarikh relatif…

“Dan kalau kita tengok pada isu semasa hari ini, jika bercakap tentang tarikh pilihan raya kalau dulu sudah tentu kita tengok yang akan bercerita dan bersembang sudah tentu ahli politik atau penganalisis politik macam saya ataupun mereka yang sealiran secara langsung atau tidak dalam politik.

“Tetapi hari ini saya lihat tarikh pilihan raya telah menjadi macam satu fenomena atau trend dan sebagainya. Bila bercakap tentang pilihan raya ua telah menjadi perbualan awam di kedai kopi, di stesen bas, media alternatif dan sebagainya,” katanya.

Justeru kata penganalisis politik itu, teka-teki tarikh PRU13 dilihat akan menjadi strategi parti pemerintah di mana BN mempunyai kelebihan berbanding Pakatan.

“Jadi saya rasa keperluan teka-teki bila bercakap tentang strategi, mungkin keperluan bila bercakap dalam konteks sains politik tarikh pilihan raya mungkin di pihak penentu tarikh pilihan raya adalah salah satu strategi yang mengejut sebab ia akan memberikan kelebihan di situ.

“Tapi bila bercakap tentang keperluan dan keselesaan, tarikh pilihan raya ditentukan dan ditetapkan supaya kedua-dua parti boleh membuat persediaan dan rakyat boleh terima dengan tarikh yang lebih selesa,” katanya.

Advertisements
3 Comments leave one →
  1. Black Arrow permalink
    August 5, 2012 2:29 am

    Bubarlah dalam bulan Ogos ini kalau ada berani! Masyarakat Cina sudah membuat keputusan muktamad.

  2. zainal azlan permalink
    August 5, 2012 4:46 am

    PRU13 munkin antara 10 – 20 November 2012 kerana Jadual Peperiksaan SPM /STPM kosong pada waktu itu.Ini munkin kerana sebahagian besar sekolah digunakan sebagai tempat mengundi ….

  3. Joe Black permalink
    August 8, 2012 5:30 am

    DS Najib Sanggup melihat pelaburan di Negara Tergantung kerana ketidakada ada haluan disebabkan tarikh pilihanraya yang masih menjadi teka teki.

    Adakah ini dikatakan Rakyat didahulukan atau Negara Didahulukan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: