Skip to content

RUU Perhimpunan Aman: PAS saman PM hari ini

December 2, 2011
Aziz Muda  (Harakahdaily)
KUALA LUMPUR, 2 Dis:Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu memaksa PAS mengambil tindakan saman terhadap beliau dan Kerajaan Malaysia hari ini.Saman tersebut difailkan bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 10.00 pagi tadi.Menurut Mohamad Sabu, tindakan saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Hanipa Maidin & Co dengan turut ditemani peguam terbabit, Mohd Hanipa Maidin yang juga peguam PAS, dengan menamakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.

Katanya, tujuan saman itu difailkan adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dan bagi mendapatkan 3 perintah dari mahkamah.

“Pertama adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Perintah kedua, menurut beliau, bagi melarang responden-responden daripada terus bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan.

“Ketiga, secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang perlu agar selaras dengan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hanipa Maidin berkata, meskipun rang undang-undang tersebut telah dipinda pada persidangan Dewan Rakyat, hakikatnya, Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia tetap telah bertindak melampaui kuasanya kerana memperkenalkan rang undang-undang itu yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini menjadikan rang undang-undang tersebut, sekiranya berjaya dijadikan Akta yang berkuatkuasa, adalah terbatal dan tidak sah di bawah Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Responden-responden, katanya, hanya mempunyai kuasa untuk membentang rang undang-undang yang selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi responden-responden telah bertindak melebihi kuasanya kerana membentangkan rang undang-undang tersebut yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, tindakan responden yang melampaui kuasanya sudah boleh dilihat secara jelas di dalam muqadimmah rang undang-undang tersebut dengan menyatakan: “adalah suatu Akta yang berhubungan dengan hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan untuk memperuntukkan sekatan-sekatan yang didapati perlu dan suai manfaat yang berhubungan dengan hak itu demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain dan untuk memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan”.

Meskipun Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen melalui undang-undang mengenakan sekatan ke atas hak kebebasan berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (b), katanya, namun sekatan yang boleh dikenakan adalah terhad kepada sekatan yang perlu demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-nama bahagiannya atau ketenteraman awam sahaja.

“Bagaimanapun, RUU tersebut secara jelas memberi kuasa kepada Parlimen untuk bukan sekadar mengenakan sekatan yang perlu demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau kententeraman awam, sebaliknya membenarkan Parlimen mengadakan sekatan bagi melindungi hak kebebasan orang lain.

“Pada hal frasa “termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain” itu adalah frasa yang tidak wujud di dalam Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, namun telah dimasukkan di dalam fasal 2 (b) rang undang-undang itu,” tambahnya.

Frasa-frasa seperti “perhimpunan serentak” yang dinyatakan di Fasal 17 dan “perhimpunan balas” yang dinyatakan di Fasal 18, tegasnya, adalah sesuatu yang melangkaui kuasa Parlimen yang dinyatakan di bawah Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan dan ini menjadikan kedua-dua fasal itu “unconstitutional”.

“Meskipun hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (b) masih boleh disekat oleh Parlimen melalui undang-undang, namun kuasa Parlimen tidak mencakupi sehingga ke tahap melenyapkan terus atau melarang secara mutlak hak berhimpun secara aman dan tidak bersenjata,” katanya.

Beliau menegaskan Fasal 4 (1) (c) (d) dan (e) rang undang-undang itu pula secara jelas bertentangan dengan Perkara 10 (1) (b) dan Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal 4 (1) (b) secara jelas melarang sama sekali protes jalanan yang ditafsirkan di bawah Fasal 3 rang undang-undang itu sebagai “suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perhimpunan di tempat yang ditentukan dan melibatkan perarakan atau perhimpunan beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan tertentu.

“Jadi, Fasal 4 (1) (b) itu adalah satu peruntukan yang bersifat satu larangan mutlak dan bukan sekadar satu sekatan yang dibenarkan oleh Perkara 10 (2) (b), tanpa mengira sesuatu perhimpunan itu aman dan tanpa senjata serta matlamat perhimpunan tersebut,” jelasnya.

Manakala Fasal 4 (1) (d) rang undang-undang itu pula, tambah beliau lagi, melarang sama sekali seseorang yang di bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, tanpa mengambil kira warganegara Malaysia sendiri, perhimpunan aman dan tanpa senjata, pelajar dan tempat.

Setelah diteliti, pihaknya mendapati Fasal 9, 10, 11, 12, 13 dan 14 rang undang-undang tersebut turut bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Antaranya termasuklah larangan berhimpun sekitar 50 meter dari sesuatu tempat yang ternyata tidak masuk akal dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.

Disebabkan realiti itu, Mohamad Sabu pada sidang media itu menyifatkan rang undang-undang tersebut lebih teruk dari undang-undang di Myanmar, apabila kerajaan negara itu kini telah pun keluar dari alam diktatornya, tetapi diambil alih pula oleh Najib.

Turut hadir pada sidang media itu, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Advertisements
One Comment leave one →
  1. Ellese permalink
    December 6, 2011 8:33 pm

    Nampak betul bodoh undang2. Parliament luluskan bill. Patutnya saman parliament dan bukan Najib. Mana karpal Ni?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: