Hudud: Nik Aziz masih harap Putrajaya sokong PAS tunai mandat 20 tahun

Oleh G Manimaran (TMI)
September 26, 2011
KUALA LUMPUR, 26 Sept — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan pertemuan dengan pakar perlembagaan dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS di Kota Baru semalam sambil menegaskan, hukum hudud hanya akan melibatkan Muslim dan mengharapkan kerjasama Putrajaya untuk melaksanakan undang-undang itu.Pendirian itu disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan ketika menemui Prof Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan Dr Dzulkefly Ahmad, ahli jawatankuasa kerja PAS dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan parti Islam itu.

“Datuk Nik Aziz (gambar) menegaskan bahawa ruang skop pelaksanaan undang-undang hudud hanya melibatkan Muslim manakala bukan Islam akan terus tertakluk kepada undang-undang sivil sedia ada, memandangkan negara ada dua sistem perundangan… ini ditekankan yang oleh MB Kelantan.

“Selain itu, beliau juga mahu kerjasama pusat agar undang-undang ini dilaksanakan di Kelantan dan negeri Kelantan dijadikan model. Itu harapan beliau,” kata Dzulkefly kepada The Malaysian Insider.

Pertemuan kira-kira sejam itu diadakan di kediaman Nik Aziz atas permintaannya bagi mendapatkan pandangan politik dan perundangan berkaitan isu kontroversi terbaru yang muncul semula minggu lalu.

Dzulkfely yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, Nik Aziz yang mengakui hukum hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan kerajaan persekutuan menekankan bahawa beliau memerlukan kerjasama agensi-agensi seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kimia dan polis.

Kerjasama itu diperlukan sebagai tambahan kepada pemansuhan dan pindaan beberapa undang-undang lain, kata beliau.

“Prof Aziz menjelaskan mengenai kekangan dari sudut peruntukan undang-undang seperti Akta Mahkamah Syariah 1995… Datuk Nik Aziz faham kekurangan skop perundangan ini,” kata beliau.

Aziz berkata, pihaknya turut mencadangkan agar diadakan satu referendum di kalangan rakyat Kelantan mengenai isu tersebut bagi mengetahui pendirian mereka.

“Cadangan referendum ini diberikan apabila Datuk Nik Aziz mengatakan bahawa sudah 20 tahun rakyat Kelantan memberikan mandat untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi tidak dapat dilaksanakan ekoran sekatan di pihak kerajaan pusat.

“Datuk Nik Aziz berharap harapan dan kehendak rakyat ini ditunaikan, mandat agar diadakan hukum hudud dilaksanakan,” katanya lagi.

Kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud – penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Nik Aziz pada 1994.

Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Minggu lalu, Nik Aziz menyifatkan kenyataan Dr Mahathir dalam isu huku hudud sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Najib agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

Beberapa hari lalu, Aziz menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang pelaksanaan hukum hudud sebab tidak ada peruntukan mengatakan tidak boleh melaksanakan undang-undang Islam itu dan Kelantan harus mencabar Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Di sisi undang-undang hudud boleh dilaksanakan di Malaysia, di peringkat persekutuan atau negeri. Atau di kedua-dua,” kata pakar perlembagaan.

Aziz menambah, sekiranya Umno mendakwa bahawa komited dengan pelaksanaan hukum Islam, ia perlu mengambil inisiatif untuk memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu.

Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan menegaskan lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud  walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

PAS dan DAP terus bertembung ekoran pendirian keras masing-masing berhubung isu pelaksanaan undang-undang hudud.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi kata dua keseluruhan kepimpinan parti itu akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hukum hudud dipaksa dimasukkan ke dalam rangka kerja Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dianggotai PAS, PKR dan DAP.


2 thoughts on “Hudud: Nik Aziz masih harap Putrajaya sokong PAS tunai mandat 20 tahun

  1. very funny hor! PAS and Tok guru fixated on hudud.
    But deny malay rights to freedom of faith.
    Freedom of faith is very clear and stated in the Quran, a book with no contradiction. So why are islamic leaders in the country reluctant to give this right?
    Can anybody from PAS explain this to me?

    1. Maksud bebas beragama disini adalah bebas mengamalkan ajaran agama masing2. Bukan bebas memilih agama (untuk semua muslim bukan melayu je). Muslim bebas untuk melaksanakan ajaran agama mereka, begitu juga kristian bebas untuk mengamalkan ajaran agama mereka, hindu, buddha dan lain2. Mungkin saudara dah salah faham…dalam Islam dilarang untuk penganutnya murtad…murtad tidak termasuk dalam konsep bebas beragama bagi penganut agama islam.

      Anda mungkin membaca terjemahan sahaja bukan tafsiran Al-quran. Terjemahan dan tafsiran adalah sesuatu yang berbeza. Tafsiran adalah penjelasan yang lebih dalam berkenaan sesuatu ayat di dalam Al-quran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s