Akhirnya impian Fadzil Noor tercapai

 (YB Liew Chin Tong, seorang graduan dari Australian National University (ANU), dalam Kajian Sains Politik dan Kajian Asia. Beliau menulis tesis ijazah sarjana mudanya dengan kepujian dalam tajuk “Islamic State Debate in PAS” dalam tahun 2004 di bawah kelolaan Professor John Funston. Beliau sangat peka tentang wacana ‘Negara Islam dalam PAS’ sejak awal Reformasi dan mengikuti perkembangan ini dengan lebih dekat lagi mutakhir ini – Dr Dzul) 

7 June   – oleh Liew Chin Tong (Roketkini.com)

   

7 JUN – Selepas pimpinan PAS mengumumkan Dokumen Negara Islam pada 2003, setelah dicabar oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad, ia menjadi salah satu faktor utama parti itu tewas teruk dalam pilihan raya umum 2004.

Daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU 1999, PAS hanya mampu kekalkan 6 kerusi Parlimen. Banyak pihak mengatakan PAS kehilangan undi bukan sahaja dari kalangan bukan Islam tetapi juga dari orang Melayu yang dikatakan “resah” dengan konsep negara Islam parti itu.

Sebenarnya Dokumen Negara Islam 2003 adalah kosep yang berlawanan dengan cadangan asal yang dibawakan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor selaku Presiden PAS, sejak 2001 dalam bentuk Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21.

Di antara Disember 2001 dan Mac 2002, draf empat muka surat telah dibincangkan oleh sabahat-sabahat PAS termasuk aktivis NGO yang kemudiannya dibawakan oleh Fadzil dalam muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan pada Mei 2002.

Fadzil yakin memorandum itu yang masih dalam peringkat persediaan itu mampu mencari titik pertemuan pelbagai peradaban, kepercayaan dan pegangan politik rakyat. Baginya, sifat pemerintahan Islam perlu ada syura, pemilihan dan demokrasi kerana pembinaan negara mesti berpaksikan kepada akhlak dan sistem nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan yang benar.

Beliau turut menjelaskan bahawa pentadbiran yang dicita-citakan PAS ialah yang mendukung kedaulatan undang-undang serta menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga melahirkan “Negara Berkebajikan” yang diharapkannya dapat memakmurkan negara dengan kebajikan serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan.

Tujuh perkara asas dalam Memorandum itu adalah:

●      Masyarakat madani

●      Hak saksama (al-musaawah)

●      Kedaulatan undang-undang berasaskan syariah yang luas makna dan ruang lingkupnya

●      Keadilan (al-‘adalah)

●      Meritokrasi (as-solahiyah)

●      Negara berkebajikan

●      Pentadbiran dinamik dan inovatif

Sayangnya, Fadzil meninggal dunia tidak lama selepas muktamar itu, pada 23 Jun 2002, yang mengakibatkan Memorandum itu tidak lagi menjadi keutamaan PAS.

Namun begitu, sebulan selepas perginya Fadzil, PAS menyusun semula Memorandum itu untuk dibincangkan bersama dengan rakan-rakan seperjuangan di luar parti di mana tujuh perkara asas dikekalkan dengan huraian yang lebih panjang.

Apa yang mengejutkan ialah satu dokumen yang berlainan sama sekali telah dikeluarkan pada November 2002 atas nama Dokumen Negara Islam yang direstui oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Dokumen itu juga mempunyai tujuh prinsip, seperti mana Memorandum, tetapi ia berbeza dalam banyak segi.

Tujuh perkara asas Dokumen itu ialah:

●      Negara undang-undang di mana dijelaskan bahawa hudud, qisasa dan takzir akan dikenakan kepada orang Islam sahaja tetapi yang bukan Islam boleh memilih sama ada menerima hukum itu atau common law

●      Sistem khilafah di mana pemerintah mesti melaksanakan hukum Islam, jika tidak mereka dianggap pengkhianat amanah Allah

●      Takwa

●      Sistem syura (concensus) di mana ia akan membincangkan perkara-perkara yang boleh diijtihadkan sahaja, dan tidak boleh dalam hukum-hukum tetap Islam (qat’i)

●      Keadilan dan kesamarataan (al-‘adaalah wal musaawaah) yang dijelaskan tidak sama dengan persamaan (equality) dan sama bahagian (fairness)

●      Kebebasan (al-hurriyyah) yang tidak boleh bercanggah dengan syara’

●      Ketuanan mutlak  (as-siyaadah wal haakimiyah) atau sovereignty yang mana hak ketuanan adalah milik Allah dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

Walau apa pun niat baik pimpinan PAS dalam menyediakan Dokumen ini, persepsi orang ramai terhadapnya telah menyebabkan parti itu ditolak dalam PRU 2004. Ia dlihat sebagai menakutkan orang bukan Islam dan orang Islam yang berpendirian sederhana.

Menjelang 2007 di mana pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lemah telah membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat, ramai pemimpin PAS terutamanya mereka yang bersikap sederhana telah menyertai gerakan-gerakan mobilisasi demokrasi seperti perhimpinan Bersih yang mendesak kerajaan Barisan Nasional supaya telus dan adil dalam pilihan raya.

Pada masa itu juga PAS mula kembali kepada idea asal Fadzil yang mahu parti itu menjadi lebih terbuka dan berarus perdana dalam menarik sokongan rakyat. Ia juga usaha sesetengah pemimpin PAS untuk membuktikan bahawa Islam bukan sempit ajarannya, Islam adalah untuk semua.

Kejayaan besar PAS bersama PKR dan DAP dalam PRU 2008 meyakinkan banyak pihak supaya parti itu berjuang bersama-sama dalam satu gabungan yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat.

Dengan adanya barisan baru PAS yang dipilih dalam muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hasrat Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meluaskan usaha promosi Negara Berkebajikan dilihat akan membuahkan hasil.

Seperti yang dijelaskan oleh Hadi, Negara Berkebajikan adalah konsep yang berteraskan Islam dan boleh diterima oleh semua orang tanpa mengira agama dan kaum. Ini bermakna PAS tetap boleh memperjuangkan agenda Islam yang benar-benar memberi manfaat kepada semua manusia.

Memetik kata-kata Hadi, “Kita mulakan dengan pelaksanaan Negara Berkebajikan. Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia sebut Negara Berkebajikan”, ia mengingatkan kita semua kepada apa yang diperjuangkan oleh Allahyrahm Ustaz Fadzil untuk membawa imej Islam yang lebih demokratik, inklusif, terbuka dan adil tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS.

Sejak 2004, PAS telah melalui jalan yang sukar dan penuh berduri. Rasa kurang keyakinan diri di kalangan pemimpin tertentu PAS juga membuatkan mereka serba-salah dengan tawaran UMNO untuk bersatu padu demi perpaduan Melayu.

Sekarang ternyata impian Fadzil sudah menjadi kenyataan. PAS dilihat sudah bersedia untuk kembali dengan penuh komitmen terhadap Pakatan Rakyat, selaras dengan impian Fadzil yang mahu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO dan BN. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera

Advertisements

6 thoughts on “Akhirnya impian Fadzil Noor tercapai

  1. Apakah pendekatan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional ketika ini menentang Islam? Mengulas berkenaan negara kebajikan yang dicanangkan oleh Hadi Awang, apakah selama ini tiada kebajikan yang dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional? Apakah selama ini rakyat dinegara ini menderita tak cukup makan, tak dapat bersekolah, nak keluar rumah pun takut, tak dapat bersiar-siar, tak dapat itu tak dapat ini? Apa yang dibuat oleh Barisan Nasional sejak dikenali sebagai Perikatan telah melaksanakan negara kebajikan dan membangunkan negara ini dan rakyat negara ini juga adalah kebajikan, apakah PAS tidak dapat menilai semua ini? Sekarang ini kalau negara ini dipimpin oleh Barisan Nasional yang kononnya zalim, apakah Hadi Awang bebas berceramah menghentam UMNO yang dituduhnya dengan tuduhan yang tidak berasas salam Muktamar PAS baru-baru ini? Apakah Mat Sabu, Lim Kit Siang dan anaknya, Karpal Singh dan anaknya, Mahfuz Omar dan keluarganya tidak bebas untuk bersiar-siar, makan di kedai, beriadah, berpolitik dan sebagainya? Ada macam itu? Sudahlah, Pakatan Rakyat, jangan asyik nak menipu saja, sedarlah menipu itu berdosa, anda kononnya ulama, ustaz, ustazah, tok guru, serban sebesar bakul, jubah putih melepak, kain tudung hingga ke kaki, kalau menipu apa guna itu semua? Tak malukah menjadi perosak, menyemai budaya keji dalam masyarakat? Apakah anda belajar dulu guru-guru anda mengajarkan supaya berceramah maki hamun, berdemontrasi liar, menghasut rakyat supaya berpecah belah, apakah guru anda mengajar sebegitu rupa? Tak tahulah kalau diajar sedemikian, geli geleman saya nak anggap orang yang ajar itu sebagai guru.

    Berkenaan Dokumen Negara Islam PAS, semua itu wayang politik, itu semua nak kaburi mata masyarakat. Kalau Dokumen Negara Islam PAS pada 2003 itu salah, apahal PAS kelek ke sana ke mari benda berkenaan semasa berkempen? Apakah kerana nak berkawan dengan DAP boleh tukar apa saja untuk mengikut telunjuk DAP? Sudahlah PAS, tak payahlah nak bermuka-muka pula, kini menggunakan sentimen Allahyarham Fadzil Noor pula untuk raih simpati. Apakah benar yang ditulis dalam artikel berkenaan bahawa Dokumen Negara Islam 2003 itu berlawanan dengan Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21 yang kononnya dibuat oleh Allahyarham Fadzil Noor? Kalau bertentangan apahal PAS ke hulu ke hilir mengusung Dokumen Negara Islam 2003 tersebut? Apakah sekarang baru sedar itu salah ini salah dalam Dokumen Negara Islam 2003 tersebut dan kononnya Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21 pula yang betul? Ini semua wayang politik PAS dan Pakatan Rakyat untuk kelirukan masyarakat, lebih-lebih lagi Portal Roketkini.com itu, milik DAP, boleh percayakah DAP akan terima perundangan hudud dan perlembagaan Islam yang hendak dibuat oleh PAS? Kalau diterima, di manakah hendak dicampakkan ideologi Malaysian Malaysia DAP itu? Seperti yang saya terangkan, ini semua wayang mainan politik Pakatan Rakyat terutama PAS untuk meraih simpati orang bumiputera yang telah meluat dengan sikap penipu PAS yang sibuk berceramah tapi pembangunan tak tahu buat sebagaimana yang berlaku di Kelantan, ceramah saja lebih, pembangunan semuanya harapkan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional. Kalau ceramah elok itu tak apalah, tapi ceramah maki hamun, menghasut, mencaci, apakah itu ada kebajikan? Itu semua nak menyebarkan dosa di kalangan masyarakat adalah, saya tak hairan kalau muda mudi sekarang ini cakap kurang ajar, kalau tok guru yang berserban dan berjubah yang ada ijazah berjela-jela dalam bidang agama dari universiti terkenal pun boleh maki hamun sesuka hati tanpa rasa malu dan berdosa, apatah lagi golongan muda yang tak ada gelaran tok guru dan tak ada ijazah berjela-jela dari universiti terkenal tersebut. Tapi apa yang jelas ini adalah wayang politik baru Pakatan Rakyat terutama PAS untuk menghalalkan apa saja yang mereka buat walaupun sebelum ini mereka kata benda itu haram dan berdosa dan itu ini, tapi kini kerana politik, jadi hala, jadi alim, jadi dapat pahala dan itu ini pula. Inilah PAS entah berapa topeng dia pakai, sekejap begini, sekejap begitu, boleh percayakah golongan sebegini? Harap serban saja sebesar bakul dan jubah putih melepak, tapi mengutamakan politik dari menunjukkan teladan yang baik. Sedarlah diri. Sekian, terima kasih.

    1. Penjenamaan semula apanya, itu semua wayang politik, kononnya tak mengorbankan prinsip PAS, tapi kini negara Islam dan perundangan hudud telah ditendang ke tepi semata-mata mahu berkawan dengan DAP. Saya mencabar pimpinan PAS kalau masih kononnya perjuangkan negara Islam dan perundangan hudud walaupun berkawan dengan DAP yang jelas menentang Malaysia sebagai negara Islam dan menentang perundangan hudud yang dicanang-canangkan oleh PAS supaya membuat kenyataan berkenaan isu negara Islam dan perundangan hudud yang kononnya prinsip PAS yang dipertahankan ini dalam perhimpunan agung DAP sebagaimana Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang pernah mengumumkan bahawa Malaysia adalah negara Islam dalam perhimpunan agung Gerakan pada lewat 1990an dahulu. Ada beranikah? Jangan retorik saja, itulah inilah, tapi tak ke mana pun, cakap saja lebih, tapi tindakan langsung tak ada. Itulah Pakatan Rakyat, kelentong rakyat dan perosak negara. Sedarlah diri. Sekian, terima kasih.

      1. Abu Usman, kalau sedar diri dan sudah insaf, kononnya, sila beri penjelasan terhadap persoalan saya yang saya utarakan sebelum ini berkenaan Pakatan Rakyat? Bila nak beri penjelasan, sibuk mengata dan menuduh orang itu dan ini, tapi Pakatan Rakyat sendiri adalah dasar perosak dan permusnah negara dan masyarakat. Kalau jenis dasar perosak dan penipu, itu, pakai serban sebesar kuali kawah dan jubah putih melepak macam bulu burung merpati pun, tak guna, harap saja serban saja besar dan jubah putih melepak, tapi dasar perosak, dasar penipu, sudah tua bangka pun masih berkelakuan tidak senonoh, menjadi perosak dan pemusnah negara dan masyarakat. Sekian, terima kasih.

  2. salam.dah En.MOhamad, duk kata orang lain, serban sebesar bakul. Jubah putih melepak. Baik ka? Walau bagaimanapun sikap orang yang anda kritik 2, sekurang-kurangnya kritik dengan cara baik, jgn kritik sunnah Nabi Muhammad yang beliau ikuti. Berserban, berbaju putih, nabi suka orang ikut sunnah baginda s.a.w..Moga Allah ampunkan dosa kita dan beri petunjuknya Amin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s