Titah Yang di-Pertuan Agong – Sisi Ekonominya.

Negara alami jurang kesenjangan pendapatan (edited by admin).

TITAH perasmian Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, ketika merasmikan sidang parlimen, 15 Mac lalu menyentuh soal kerajaan secara menyeluruh, selain menekankan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar pendapatan negara.  Sebelum ini, kerajaan bercadang untuk mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai salah satu usaha ke arah itu. Bagaimanapun, cadangan itu kemudiannya ditangguhkan setelah mendapat reaksi negatif daripada rakyat terbawah. Bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, wartawan Harakah ANIS NAZRI memperincikan butirannya. 

HARAKAH: Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah berhubung usaha meningkatkan kadar pendapatan negara. Difahamkan, kadar pendapatan Malaysia agak rendah berbanding negara Asean lain. Apa komen Dr.?

DR DZULKEFLY: Pendapatan adalah seluruh hasil cukai dan bukan cukai  negara, sementara pendapatan per kapita adalah besarnya pendapatan purata penduduk di suatu negara. Pendapatan perkapita didapatkan dari hasil pembagian pendapatan nasional suatu negara dengan jumlah penduduk negara tersebut.

Titah Tuanku adalah berkenaan dasar kerajaan hari ini, yakni dasar kerajaan BN. Itu jelas. Saya bersedia menerima bahawa Titah Tuanku menyeluruh dan komprehensif dan menyentuh pelbagai aspek kehidupan rakyat.

Pendapatan per kapita negara memang rendah (anggaran- USD7000 atau RM 25,000). Ini jauh berbeza dengan negara2 OECD mahupun seperti Singapura dan Korea Selatan. juga Lebanon, Turkey, Mexico dan Brazil lebih tinggi dari kita.  Tetapi kita masih lebih tinggi dari Indonesia dan Thailand. Tetapi lebih penting dari itu ialah negara mengalami jurang atau kesenjangan (ketidakseimbangan) pendapatan yang lebar, antara terburuk di antara negara Asean dan juga kebetulan hanya baik sedikit dari Papua New Guinea.

Jumlah warga kerja pula yang membayar cukai juga tidak ramai. Hanya 15 peratus atau 1.5 juta sahaja dari seluruh warga dalam pasaran buruh. Ini disebabkan kita terperangkap dalam julat pendapatan rendah-sederhana (middle-income trap) untuk sekian lama. Ini adalah hasil polisi pendapatan rendah kerajaan BN, kerana untuk kurangkan kos buruh dan faktor daya saing negara satu masa dahulu (dekad2 awal).

Perbelanjaan kerajaan untuk memacu pertumbuhan (growth), bagaimana?

Untuk memacu pertumbuhan (growth) perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan (G-factor) sudah tidak lagi wajar.  Kerajaan terlalu banyak berhutang untuk melakukan sedemikian. 
Kini telah ke paras 54 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu RM364bilion, pada 2009.  Kerajaan memerlukan sumbangan pihak swasta termasuk dalam dan luar (FDIs).

Bagaimanapun, sumbangan mereka (swasta) merosot. Jika beberapa tahun dahulu sehingga tahun 90an, sumbangan pihak swasta ialah 30 peratus. Kini hanya 10 peratus. Ini membuktikan pelabur kurang atau hilang keyakinan.
Ini diakui sendiri oleh BNM dalam laporan mereka mutakhir. BNM merakamkan kerunsingan bukan sahaja FDI tak masuk, tetapi negara mengalami pengaliran keluar dana. Ini tentunya menjejaskan potensi pertumbuhan.

Adakah ini menyebabkan kerajaan mahu laksana GST, yang baru ditangguhkan?

Atas sebab-sebab itu, kerajaan ingin melaksanakan GST, bagi tujuan menjana dan meningkatkan pendapatan negara.

Secara teori dan praktikalnya, adakah Dr bersetuju dengan cadangan tersebut, walaupun ia sudah ditangguhkan pelaksanaannya?

Itu merupakan salah satu usaha untuk menambah pendapatan negara. Tetapi, dalam suasana ekonomi negara dilingkungi kegawatan dan ketidaktentuan ini, melaksanakan GST adalah mengundang petaka.
Rakyat yang sedang tertekan dengan kos kehidupan yang tinggi akan menjadi seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana GST akan juga mencetuskan inflasi dan kenaikan kos barang dan perkhidmatan.

Jadi Dr. bersetuju?

Saya menolak perlaksanaan GST sehingga ekonomi mengalami reformasi struktural dan pertumbuhan mapan untuk beberapa tahun, produktiviti dapat ditingkatkan sehingga rakyat mengalami pendapatan yang munasabah tinggi dan lebih ramai dalam kelompok membayar cukai pendapatan individu.

Difahamkan, sidang dewan kali ini akan pada awalnya akan membacakan rang undang-undang berkaitan GST bagi kali kedua untuk diluluskan, tapi kemudiannya ditangguhkan? Mengapa? 

Kerajaan menangguhkan cadangan berkenaan, mungkin ekoran desakan rakyat. 

Apakah peranan yang akan dimainkan ahli parlimen Pakatan Rakyat berhubung isu GST ini bagi memastikan cadangan ini tidak akan dikemukakan lagi?

Alhamdulillah, kerajaan telah pun akhirnya mendengar desakan rakyat dan protes Jawatan Kuasa Bertindak Anti-GST Pakatan.  Peranan kami sebagai MP Pakatan adalah untuk terus memperjuangkan segala kemaslahatan untuk rakyat, sama ada perbahasan dalam parlimen atau di luar parlimen.
GST sebagai satu yang membebankan rakyat akan terus kami tentang sehinggalah suasana dan syarat perlaksanaan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan seluruh rakyat.

Jika GST itu dilihat sebagai salah satu usaha meningkatkan pendapatan negara, tetapi turut membebankan rakyat, apakah cara terbaik bagi kerajaan berdepan dengan masalah ini?

Kerajaan BN hari ini menggunakan kaedah fiskal dalam meningkatkan pendapatan negara, yakni mengurangkan subsidi dan mengenakan serta meningkatkan sumber cukai.
Secara mudah sesebuah kerajaan akan mengenakan cukai ke atas rakyatnya atau pun mengurangkan subsidi kepada rakyat.
GST akan menggantikan SST (Sales and Serives Tax). Saya bersedia mengakui bahawa GST adalah sistem percukaian yang lebih baik dari SST tetapi mesti memenuhi syarat-syarat yang telah saya tegaskan tadi.

Tanpa GST, mampukah kerajaan menjana pendapatan negara?

Pada pandangan saya, kerajaan mampu menjana sumber pendapatan baru dan lebih besar dengan beberapa langkah seperti menutup sumber-sumber ketirisan dan kebocoran dalam sistem penghantaran sahaja, yang mengikut Ketua Audit Negara akan menyelematkan negara sebanyak RM28 bilion setahun.  Lihat, ini satu sumber pendapatan yang selama ini tiris.
Selain itu, kerajaan perlu mengelak dari melakukan projek-projek dan polisi yang bersifat ‘berbolak-balik’ atau ‘flip-flop’ kerana ia merugikan di segi kos pembiayaan projek.

Contoh yang Dr. boleh kemukakan…

Contohnya, projek mega landasan berkembar sahaja menelan RM1.6bilion dalam kos pembiayaan kerana dolak-dalik dalam pendirian kerajaan.  Sekejap jadi sekejap tak jadi. Banyak lagi contoh yang lain.
Kerajaan juga boleh menjalankan perolehan khususnya dalam pembelian mega seperti kementerian pertahanan, yang dilihat mesti dilakukan secara tender terbuka. 
Inilah lubuk ketirisan, lihat sahaja pembayaran ‘komisyen’ kapal selam Scorpene ke paras RM500 juta.  Semua ketirisan ini adalah wang rakyat dan sumber pendapatan rakyat.

Akhir sekali…
Saya menggesa kerajaan memacu usaha untuk mendapatkan ‘pelaburan asing langsung’ dan sekaligus mengelakkan dana tempatan mengalir keluar. 
Ini telah diakui oleh Bank Negara yang mengakui tentang aliran keluar dana yang besar.  Ini membayangkan ketidakpercayaan pelabur asing dan tempatan. Dengan itu, pertumbuhan dan pendapatan akan dapat di ambil alih sedikit oleh pihak swasta, bagi mewujudkan pekerjaan, industri-industri baru, sekaligus menjana pendapatan dan pertumbuhan KDNK negara.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s