Skip to content

Siapa Dalang(Dalang2?) Sebenar Yang Memporakperandakan Pelantikan SUK negeri Selangor?

January 8, 2011

Siapa Dalang (atau Dalang-Dalang) Sebenar Yang Memporakperandakan Pelantikan SUK negeri Selangor?

Meskipun urusan pelantikan telah berlangsung, masih ramai yang bertanya-tanya dan terpinga-pinga mahukan cerita sebenarnya didedah kepada warga dan rakyat Selangor bahkan untuk pengetahuan seluruh rakyat di Malaysia bahkan untuk tatapan masyarakat antarabangsa. Ini tuntutan Politik Baru dalam dunia yang bertamaddun dengan maklumat. Dari kedua_dua kronologi perlantikan dan dari sumber sekretariat akhbar kerajaan negeri Selangor, anda baca, teliti dan buat keputusan anda sendiri. Rakyat Hakim Terbaik dan Penentu!

Kronologi perlantikan SUK Selangor

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 7 Jan: Berikut adalah kronologi pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.26 Oktober 2010

PSM memberi Nota Amalan kepada Dato’ Menteri Besar tentang prosedur  pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:

i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.

ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.

iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010

Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Dato’ Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baharu dan menyenaraikan 8 nama  yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010

Pejabat Menteri Besar  menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010.

Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon .

1 Disember 2010.

Mesyuarat EXCO bersidang. Dato’ Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.

2 Disember 2010

Mesyuarat MTES bersidang Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

3 Disember 2010

Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Dato’ Menteri Besar bahawa 3 nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa 2 calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010

Mesyuarat EXCO bersidang. Dato’ Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010

Mesyuarat MTES bersidang Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010

Mesyuarat EXCO bersidang. Dato’ Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010

2pm: Mesyuarat MTES bersidang Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.

9pm: Majlis Persaraan untuk Dato’ Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Dato’ Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau

17 Disember 2010

Dato’ Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Dato’ Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010

Dato’ Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia  untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Dato’ Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010

Istana  menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato’ Menteri Besar, Haji Mustapha.  

Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato’ Ramli Mahmud sebagai balasan surat yang dihantar Dato’ Ramli bertarikh 3 Disember.

Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor tiga calon yang layak.

Manakala surat 10 Disember memaklumkan kepada Dato’ Ramli bahawa DYMM Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Dato’ Muhamad Khusrin Munawi. Surat itu juga menyatakan Dato’ Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010

Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato’ Mohamad Munir bahawa Dato’ Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010

Dato’ Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011

Dato’ Menteri Besar menghadap DYMM Sultan Selangor. Dato’  Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Dato’ Mohamad Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011

Pejabat Dato’ Menteri Besar menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011

Dato’ Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Dato’ Mohamad Khusrin.

 

 

SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kenyataan ketua setiausaha negara (KSN) dan bekas setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bahawa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan sebelum 21 Disember berhubung pelantikan SUK baru didakwa ternyata salah.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin sebaliknya berkata, tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Ramli.

“Sebaliknya apa yang berlaku ialah KSN telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Datuk Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Datuk menteri besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

“Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember (setiausaha sulit Sultan) Datuk Munir (Bani) telah menghantar surat kepada setiausaha sulit menteri besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Datuk Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Datuk Khusrin sebagai SUK,” kata Faekah lagi.

Saya mengambil inisiatif ini untuk sekadar mendedahkan kepada pembaca akan fakta-fakta di sekitar kemelut yang hampir menjerumuskan nama baik DYMM Tuanku Sultan dan ikatan baik Tuanku dengan Kerajaan Selangor. Anda punya kebijaksanaan untuk membuat keputusan sendiri setelah membacanya dan anda bertanggungjaab terhadap diri anda sendiri.

Akhirnya semua kita bertanggungjawab kepada Allah SWT dan akan diadili di Mahkamah Rabbul Jalil. Ini bukan hanya urusan politik yang kita anggap akan selesai di dunia ini! Sebab itu semua urusan politik mesti ‘berkiblatkan’ akhirat barulah semuanya dibuat dalam rangka ‘ibadah” dan ‘ubudiyyah’. Fahaman politik sekular mengizinkan “Matlamat Menghalalkan Cara” sebab itu tidak mengambil perhitungan nilai agama, moral dan halal-haram sesuatu tindakan.

 Jangan izinkan urusan yang tidak menghitung nilai agama, moral dan integriti seperti ini berterusan di negeri dan negera kita ini kalau kita mahu rezeki yang di berkati Allah SWT dan kehidupan yang dirahmati Allah SWT!

YAB Dato’ MB terharu dengan titah DYMM Tuanku Sultan pada 6 Jan lalu. Tuanku ternyata melihat keikhlasan Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dengan telus cekap dan efisien. Tuanku juga menegur sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan di dalam isu yang hangat ini dengan memberi persepsi silap kepada rakyat. Pakatan Rakyat bersyukur dengan titah ikhlas yang dikeluarkan Duli Tuanku.

Mengambil maklum dan menjunjung titah Tuanku tersebut, Dato’ MB ingin memperbetulkan beberapa dakwaan oleh bekas Setiausaha Negeri Dato’ Ramli Mahmud dan KSN kononnya Dato’ MB telah dimaklumkan berkenaan lantikan Dato’ Khusrin Munawi sebelum 21 Disember. Dato’ MB menegaskan beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke Istana sebelum 17 Disember 2010. Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Dato’ Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Dato’ MB.

Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mentadbir negeri secara profesional dan mantap tanpa ada niat untuk bermain politik dalam soal pentadbiran mahupun mempolitikkan isu-isu tertentu. Namun apabila sesuatu fakta itu diputar belit serta bercanggah dengan bukti yang sedia ada, adalah menjadi tanggungjawab Dato’ MB memberi penjelasan. Bukti amat jelas bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan yang melantik Setiausaha Negeri tanpa rundingan dengan Menteri Besar adalah satu tindakan sabotaj yang memang bersifat politik. Tindakan arbitrasi inilah yang telah memulakan segala kekeliruan dan akhirnya menjadi masalah.

Dato’ Ramli akan bersara wajib pada 24 Mac 2011. Justeru, pada 26 Oktober Pejabat Menteri Besar telah diberi nota amalan (practice notes) dari Pejabat Setiausaha Negeri melalui Pusat Sumber Manusia (PSM) Negeri. Nota amalan ialah berkenaan amalan yang biasa (convention) yang dilakukan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ). Nota amalan tersebut jelas menyatakan tatacara yang perlu diambil iaitu;

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.

Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.

Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, Dato’ MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah Ketua Setiausaha Negara ( KSN ) telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Dato’ Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Dato’ Menteri Besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember Dato’ Munir telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Dato’ MB dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Dato’ Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Dato’ Khusrin sebagai SUK.

Antara 10 hingga 21 Disember, Dato’ Ramli telah hadir pada dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Mesyuarat Exco), dua mesyuarat Majlis
Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Majlis persaraan beliau juga diadakan. Dalam lima pertemuan ini, Dato’ Ramli tidak pernah menyebut bahawa Tuanku telah memberi perkenan kepada Dato’ Khusrin.

Justeru, kenyataan KSN dan Dato’ Ramli bahawa Dato’ MB telah dimaklumkan sebelum 21 Disember ternyata salah. Tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Dato’ Ramli.

Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat. Sekiranya kerajaan Persekutuan menghormati semangat Federalisme dan memahami kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan Negeri Selangor hari ini, pastinya mereka tidak akan melantik seorang Setiausaha Negeri tanpa sebarang konsultasi dengan Dato’ MB yang telah dipilih rakyat.

Dato’ MB berharap KSN dan amnya SPA akan sanggup bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat. Tidaklah perlu memanjangkan perkara ini dengan menimbulkan isu lain kononnya Dato’ MB terlewat menghantar nama dan sebagainya. Dato MB percaya hanya dengan bertindak secara profesional serta jujur pada amalan, isu ini boleh diselesaikan.

About these ads
5 Comments leave one →
  1. ALIAS DASUKI permalink
    January 8, 2011 5:57 am

    YB,
    Tindakan disiplin harus diambil terhadap Ramli Mahmud atas tindakan khianatnya dan kemudahan pencennya dibatalkan. Selagi tindakan tidak diambil terhap pengkhiatan sedemikian rupa tiada negeri yang akan aman dari di sabotaj.

  2. January 8, 2011 8:51 am

    Nota Amalan mengenai perlantikan SUK yg diberikan olih PSM kepada Khalid DENGAN JELAS menunjukkan ‘perlantikan’ Kushrin bukanlah satu ‘perlantikan’ dalam ertikata ‘lantikan dibawah Art.144 Fed Consti’ tetapi hanyalah satu ‘secondment of federal PTD officers’ kepada Kerajaan Negeri dibawah Art.134 Fed Consti. Kesemua SUK di negeri Perak, Pahang, S’gor dan NS adalah seconded PTD officers. Itu sebab Nota Amalan itu menyebut pemilihan calon mesti dipersetujui olih MB.

    Tiada sebarang lantikan dalam ertikata A.144 bolih dibuat olih PSC kerana PSC tidak mempunyai bidangkuasa untuk melantik ahli/pegawainya untuk mengisi jawatan kepunyaan Kerajaan Negeri. PSC hanya bolih meminjamkan pegawai PTDnya untuk dilantik sebagai SUK dibawah A.134.

    Masalah ni semua timbul kerana KSN Sidik tidak bagitu faham apakah itu takrif ‘lantikan spt yg terkandung dlmf A.144 dan secondment dibawah s.134. Ini tidak memeranjatkan kerana Sidik tidak pernah berkhidmat dengan JPA dan tidak pernah jadi KP JPA. Itu sebab tentang ‘service matters’ dia kelabu.

  3. Black Arrow permalink
    January 9, 2011 3:45 am

    Pegawai-pegawai kerajaan memang berkhidmat untuk UMNO-BN walaupun sebenarnya mereka sepatutnya bertindak neutral dan berkhidmat untuk rakyat.

    Mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan etika yang betul.

    Seperti yang Tok Guru Nik Aziz Nik Mat selalu berkata,’tanggung di dunia dan jawab di akhirat, itulah maknanya tanggungjawab’.

    Habislah Malaysia dengan pegawai-pegawai kerajaan macam ini!

  4. Orang Lama PTD permalink
    January 10, 2011 2:17 am

    Apa yang disebut oleh ‘Ex’ itu adalah benar sekali. Saya pernah berkhidmat di peringkat kerajaan negeri selama 10 tahun. Itulah amalan lazimnya. Selama tempoh saya berkhidmat itu 3 kali SUK bertukar ganti. Tidak pernah pun ada acara angkat sumpah SUK di hadapan Sultan.Dan tiap kali ketentuan siapa menjadi SUK akan dibuat oleh Menteri Besar. JPA cuma menasehatkan MB mengenai rekod dan kekananan pegawai yang disyorkan dan juga mengeluarkan surat perlantikan sahaja.Saya amat heran macam mana bekas KSN Tan Sri Sallehuddin Mohd, Presiden Alumni PTD boleh menyokong apa yang telah dilakukan oleh Sidik Hassan. Dari segi legal mungkin perlantikan itu betul, tetapi dari segi protokol dan etika pengisian jawatan SUK ianya salah. Apa yang Sidek patut buat sekarang ialah memohon maaf kepada MB Selangor. Secara itu dia juga meomohon maaf kepada majoriti rakyat Selangor yang telah mengundi memilih Kerajaan negeri yang ada sekarang. Sidek sepatutnya buat kerja secara professional dan komit kepada sistem demokratik kita yang mana dia patut menghormati kdudukan MB, walaupun MB bukan dari parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan.

  5. Orang Lama PTD permalink
    January 10, 2011 2:20 am

    Sebagai bekas PTD yang pernah berkhidmat di negeri, apa yang disebut oleh “ex” adalah sangat benar. Heran Presiden Alumni PTD boleh sokong Sidek yang tak professional.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 47,621 other followers