Skip to content

Siasah: Jangan Ulangai Kesilapan PASCA Pilihan Raya 99

October 8, 2008
PAS dikatakan berada di persimpangan ekoran isu muzakarah atau muqabalah PAS dan Umno. Apa kesan Muktamar PAS baru-baru ini kepada parti itu. Ikuti temubual wartawan Siasah, ZULKIFLI SULONG dan HIDAYATUL AKMAL AHMAD dengan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, DR DZULKIFLI AHMAD.
Antara yang dinyatakan beliau:
“Kemenangan kita dalam pilihan raya 2008 adalah dibina di atas sokongan kaum Cina dan India, atau dengan kata lain atas sokongan orang bukan Islam. Ini adalah lonjakan yang paling hebat yang dicapai oleh PAS sejak lebih 50 tahun berjuang. Ia adalah hasil usaha yang kita buat untuk memberikan keyakinan kepada orang bukan Islam atas platform PAS untuk Semua, Keadilan untuk semua dan sebagainya. Kita telah menolak ketakutan mereka kepada Negara Islam dengan mendatangkan manifesto baru bergelar Negara Berkebajikan dan kita menletakkan pendekatan kita bersifat substantif bukannya istilah atau konsep tetapi pada amalannya. “
“Postmortem 2004 merakamkan perkara itu antara lain bagaimana kita cukup berani. Saya tak cakap salah atau betul dari sudut hukum tapi dari sudut strategi adalah kurang bijak. Sebab itu kalau saya masih ingat Almarhum Ustaz Fadzil Noor tidak mengungkapkan dokumen itu dengan nama dokuman Negara Islam tetapi yang diungkapakn adalah “Penghayatan sebuah kerajaan sebuah pemerintahan Islam dalam abad ke-21 masihi”. “
“Saya kira sementara kita merancang musuh juga merancang. Dan saya fikir musuh sudah melihat trend bahawa kekuatan PAS dan komponen Pakatan Rakyat ini adalah pilihan raya ke 13 bukan hanya 16 September ini. Saya kira yang mereka takut bukan masa terdekat ini tetapi yang mereka takut adalah momentum selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh menuju pilihan raya ke-12. Apa akan berlaku jika lima buah negeri Pakatan ini deliver dan merakyatkan ekonomi, keadilan sosial kepada semua lima negeri ini, dan bagi saya, ini yang mereka lebih takut. “
____________________________________________________________________________________
wawancara penulis dengan akhbar Siasah, 24-30 Ogos 2008 (Bil112). 
Oleh YB DR DZULKIFLI AHMAD Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

Siasah

Menjelang muktamar baru-baru ini, isu muzakarah dengan Umno dikatakan hangat dibincangkan di kalangan pucuk pimpinan PAS. Semasa muktamar pula, isu ini juga menjadi isu yang dominan. Pada pandangan Dr, apakah kesan isuini kepada masa depan PAS?

Dr Dzulkefly

Isu ini harus dilihat dalam perspektifnya. Paling penting, kita harus memahami suasana sebelum Muktamar itu sendiri,bahkan saya percaya, kita harus kembali dan bermula dari keputusan pilihan raya 8 Mac, iaitu Pilihan Raya Umum ke 12lalu. Dengan kembali ke situ, kita akan terus diperingatkan tentang kenyataan bahawa PAS telah menempa kejayaanyang besar, bahkan di luar dugaan sama sekali. PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah diterima baik oleh rakyat dalam pilihan raya itu.

Bagi saya, keadaan ini tercapai kerana semua faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu tampak bertindak serentak dengan cantik lalu memberikan kelebihan kepada kita. Paling jelas, ia tercapai dalam keadaan kita tidak melakukan apa-apa blunders atau kesalahan besar yang pernah berlaku dalam pilihan raya 2004 sebelum itu.

Justeru, PAS perlu menegaskan dan merakamkan kesedarannya bahawa kemenangan ini berlaku di luar garis prestasi kita semasa pilihan raya 2004. Jelasnya penambahan kerusi Parlimen atau Dun itu berlaku kerana sokongan ‘pengundi baru’ dengan pelebaran sokongan atau ringkasnya undi kaum Cina dan India.

Apa yang ingin saya tegaskan, sebelum pilihan raya lepas, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) sebagai think tank parti telah memantau dan melakukan beberapa bancian mengenai suasana politik dan kecenderungan pengundi, sama ada secara bersendirian mahupun dengan pihak lain.  Jelas ketika itu, keputusan bancian menunjukkan kecenderungan kaum Cina dan India untuk menyokong pembangkang, tetapi pada saat yang sama, tiada pula jaminan atau isyarat bahawa mereka juga akan menyokong PAS. Cabaran, bahkan dilema, yang kita hadapi ketika itu ialah sama ada kita bakal mendapat sokongan mereka atau sebaliknya.

Dengan mengambil keputusan bancian dan kesedaran itu sebagai asas, PPP telah mencerakinkan satu formula ataustrategi pendekatan pilihan raya yang bermula dengan ‘strategi menghapuskan prejudis’ terhadap kita di kalangan pengundi Cina dan India, sekali gus membolehkan kita keluar dari garis dan aras prejudis itu sendiri. Ekoran itu, kita telah merangka strategi inokulasi atau pelalian untuk kaum Cina yang sentiasa prejudis terhadap kita akibat serangan media dan sebagainya. Sebelum ini tindakan menyokong PAS digambarkan seperti menyokong Taliban atau ekstremisme, negara Islam dan lain-lain.

Alhamdulillah, kita bukan sahaja berjaya merangka sebuah battle cry yang cantik, malah turut berjaya merumuskanpendekatan yang, selain menzahirkan PAS sebagai sebuah parti untuk semua, turut mengetengahkan keadilan Islam sebagai dasar untuk semua.

Dengan pendekatan positif, proaktif dan kreatif ini, maka terangkatlah prejudis kaum Cina dan India kepada kita selama ini. Mereka yang dulunya melihat PAS sebagai sebuah parti yang hanya pandai menghukum dan menekan orang atau berminat dengan perkara-perkara yang bersifat anti-agama lain, kini tidak lagi berfikiran begitu. Tembok takut dan curiga berabad itu telah berjaya kita pecahkan dengan strategi pelalian atau inokulasi tersebut.

Namun kita juga perlu ingat bahawa tsunami ini terjadi ekoran beberapa peristiwa besar seperti himpunan Bersih dan Hindraf, yang berlaku sebelum itu. Di sini kita harus juga sedar bahawa tanpa kebijksanaan atau gaya yang tepat, perkembangan-perkembangan itu boleh sahaja memberi manfaat kepada orang lain, sedangkan kita hanya mampu melopong memerhatikan dari jauh. Jadi tiada jaminan bahawa kita akan dapat apa-apa ‘habuan’ daripadanya.

Dengan kata lain, kita hanya akan memperolehi ‘habuan’ tersebut sekiranya pengundi Cina dan India mempercayai PAS seperti mereka mempercayai DAP dan PKR. Pada ketika itu, kita tidak pasti tentang kemungkinan ini. Oleh sebab itu, maka lahirlah manifesto yang sedemikian tagline, penampilan dan ungkapannya. Kita mahu melakukan inokulasi atau pelalian seperti yang saya sebutkan sebelum ini.

Malang sedikit, tiba-tiba pada hari ini, ramai yang bercakap dengan nada seolah-olah semua itu tidak penting keranasemua orang mendapat ‘habuan’ masing-masing dalam pilihan raya lepas kerana tsunami melanda Umno/BN. Ada yang kata kalau tak ada manifesto pun tak apa, kita akan menang. Ini simplistik sangat.

Rumusan rambang seumpama ini sebenarnya tidak tepat sama sekali. Sekiranya kita semak dengan teliti, kita akandapati banyak lagi kerusi yang kita kalah dalam suasana orang lain menang. Mengapa agaknya ini berlaku? Allah saja yang tahu. Tetapi dalam analisis kita, jelas terdapat beberapa ‘keganjilan’ kepada kecenderungan umum pengundi mengundi pembangkang dalam pilihan raya baru lalu. Ini memaksa kita berfikir melampaui kecenderungan umum itu.

Siasah

Sebagai contoh, kita tewas di beberapa kerusi sedangkan calon lain menang di situ. Di Selayang misalnya, calon PKR menang di kerusi Parlimen, tetapi kita kalah di Dun-dunnya seperti Kuang (PKR) dan Templer (PAS), sementara William Leong menang mudah di kerusi Parlimen. Mungkin di sana ada faktor-faktor lain yang dilihat pengundi. Mereka mungkin menilai peribadi atau penampilan calon. Mungkin juga mereka melihat ungkapan atau mesej yang dikemukakan. Vaksin pelalian kita nampaknya tidak mujarab di sini. Mengapa?

Dr Dzulkefly

Dalam konteks ini, vaksin tidak boleh dipersalahkan kerana di tempat-tempat lain ia ternyata berkesan, sekali gusmembantu ramai calon kita menang di kawasan majoriti bukan Melayu. Kejayaan Dr Mariah di Kota Raja adalah bukti yang paling jelas. Namun demikian, berjaya-gagal dalam pilihan raya bukanlah satu-satunya matlamat strategi inokulasi tersebut. Lebih penting, ia memungkinkan kita mengetengahkan wajah sebenar parti kita, iaitu sebagai parti yang berjuang untuk semuadalam perjuangan politik yang bersifat inklusif, bukannya eksklusif seperti yang sering ditohmah oleh ‘musuh-musuh’ kita. Ini yang mereka mahu lihat secara konsisten.

Siasah

Pada PRU 1999, kita menang besar di dua negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Di peringkat Parlimen pula kitamenang di 27 kerusi. Apakah senario ketika itu yang membezakannya dengan PRU 2008?

Dr Dzulkefly

Soalan ini amat menarik dan penting, malah saya telah memikirkannya dengan mendalam sebelum ini. Terus terang,saya khuatir dengan apa yang berlaku hari ini kerana tampak seolah-olah sedang berlaku pengulangan semula sejarah negatif yang pernah menimpa kita selepas pilihan raya itu.  Pada PRU 1999 kita menang besar, bahkan ia lebih besar daripada PRU kali ini. Kita menang 27 kerusi parlimen dan dua negeri secara solid di atas tiket PAS. Malangnya selepas kemenangan itu, ahli dan pimpinan seolah-olah hilang perhitungan dengan menganggap kemenangan tersebut sebagai kemenangan mutlak PAS. Kita seolah-olah lupa bahawa kemenangan itu adalah kemenangan kebangkitan rakyat yang terhasil daripada cetusan reformasi dan isu kezaliman ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Itu hakikatnya. Namun ada di kalangan kita yang mahu menafikan hakikat itu. Kita tenggelam dalam sindrom penafian.

Akibatnya, kita secara tiba-tiba mula bercakap dan bertindak dalam bahasa dan tindakan yang kelihatan ‘terlalu Islamik’ sehinggakan ia tidak lagi difahami maupun dihayati oleh rakyat yang mengundi kita sebelum itu. Perkara ini penting disebut kerana pada PRU 1999, kita menang atas undi orang Melayu, dan mereka jugalah yang menolak kita dalam PRU 2004 ekoran ‘perubahan’ kita itu.  Hal ini lebih penting kini kerana kemenangan 2008, yang boleh dibuktikan dengan statistik dan analisis yang tepat, adalah hasil sokongan kaum Cina dan India, yang buat pertama kali dalam sejarah telah memberi sokongan besar kepada PAS. Kita harus sedar, mereka akan lebih mudah menolak kita jika kita mengulangi kesilapan selepas PRU 1999 kerana isu-isu eksklusif Islam dan sebagainya adalah lebih asing kepada mereka berbanding orang Melayu dalam PRU 2004.

Postmortem PRU 2004 merakamkan satu perkara, iaitu bagaimana kita cukup berani mengemukakan agenda ‘Negara Islam’ kita. Saya tidak berkata bahawa ia salah atau betul dari sudut hukum, tetapi dari sudut strategi jelas ia kurang bijak. Oleh sebab itu, saya masih ingat bagaimana Almarhum Ustaz Fadzil Noor tidak pernah mengungkapkan agenda itu dengan nama dokumen ‘Negara Islam’, tetapi sebagai usaha ‘Penghayatan sebuah Pemerintahan Islam dalam abad ke-21 Masihi’.

Berdasarkan latar belakang sedemikian, saya amat khuatir sekiranya ia berulang kembali pasca PRU 2008 ini. Mimpi buruk 2004 selepas kemenangan besar dalam PRU 1999 tidak seharusnya diulangi. Saya sebutkan perkara ini kerana kini seolah-olah ada bibit-bibit atau riak-riak kecenderungan ke arah itu.  

Siasah

Dr menyebut tentang bibit-bibit tersebut kelihatan timbul kembali. Apakah ia berkaitan isu muzakarah dengan Umno yang diheboh-hebohkan dalam media itu?

Dr Dzulkelfy

Saya yakin sewaktu kita merancang, musuh pun merancang juga. Musuh sudah melihat trend pengundi baru-baru inidan mereka sedar tentang bagaimana ia memperkukuh kekuatan PAS dan Pakatan Rakyat bukan sahaja dalam pilihan raya lepas atau untuk 16 September depan, tetapi lebih jauh daripada itu. Jelasnya, mereka bukan takut untuk masa terdekat ini, tetapi bimbang sekiranya momentum itu berpanjangan selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh menuju PRU ke-13. Apakah yang bakal berlaku kepada Umno-BN sekiranya kelima-lima buah negeri Pakatan kini benar-benar deliver dan berjaya merakyatkan agenda ekonomi, keadilan sosial daan lain-lain? Bagi saya, ini yang benar-benar menakutkan mereka. Kesungguhan luar biasa Umno-BN mahu menewaskan Anwar di Permatang Pauh kini juga memperlihatkan ketakutan yang sama.

Untuk tujuan itu, saya kira, senjata mereka yang paling ampuh ialah dengan memecahkan keutuhan dan perpaduanPakatan Rakyat. Dengan tujuan itu di minda kita, jelaslah apa yang berlaku hari ini dalam isu muzakarah PAS-Umno, adalah sebahagian daripada perancangan mereka. Soalnya, apakah kita akan terperangkap dengan membaham umpan yang mereka sediakan itu? Pertikaian yang berlaku dan isu yang terhampar di hadapan kita ini menuntut kepekaan dan kebijaksanaan bukan saja dari sudut sejarah, bahkan mengenai tipu helah politik dan strategi mereka untuk menjatuhkan kita. Benarkah mereka ingin bermuzakarah? Keseluruhan isu ini mesti dikaji bukan sahaja dari sudut hukum, tetapi juga strategi dan siasah serta bacaan politik.

Siasah

Mengikut hujah pihak yang menyokong  muzakarah atau pendekatan muzakarah, PAS berkemungkinan terperangkapdalam satu dilema baru apabila kerajaan Pakatan Rakyat yang bakal dibentuk kelak mempunyai majoriti orang bukan-Islam. Apakah pandangan Dr dalam hal ini?

Dr Dzulkelfy

Pertama, gembar-gembur kebimbangan ini tidak berpunca daripada kita. Ia telah bermula lebih awal dan dapat dilihat dalam beberapa insiden terdahulu. Isu penternakan babi di Selangor adalah salah satu daripadanya. Paling muktahir ialah isu forum Majlis Peguam. Isu-isu ini dibangkitkan untuk mengaburi mata dan minda orang Melayu bahawa kononnya kedudukan Islam dan orang Melayu akan terjejas, sementara orang Cina atau India pula semakin berani mencabar mereka, apabila orang Melayu-Islam hilang kuasa.  Dengan menyuntik rasa bimbang atau ketakutan orang Melayu-Islam ini, Umno berharap kedudukannya mengukuh,sekali gus melemahkan perpaduan Pakatan Rakyat dan PAS khasnya. Apakah kita akan terjebak dalam  mainan seperti ini? Apakah kita telah melupakan sesuatu yang sering ditekankan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz bahawa kita memperjuangkan Islam, bahawa kita memperjuangkan keadilan untuk semua dan tidak menggunakan pendekatan perkauman seperti itu.

Saya percaya sekiranya kita terperangkap dalam isu-isu emotif dan perkauman seperti ini, kita bukan sahaja akan gagal sebagai sebuah parti yang berwibawa dan matang, tetapi lebih penting lagi kita akan gagal dalam usaha mengetengahkan potensi dan upaya sebenar Islam sebagai dasar untuk semua. Dengan kata lain, di sebalik dakwaankita bahawa Islam adalah sesuai untuk semua zaman dan kelompok manusia, tindak-tanduk kita memperlihatkan sikap dan keyakinan sebaliknya.

 

Siasah

Dr ada menyebut bahawa isu ini ditimbulkan oleh musuh kita untuk memecahkan Pakatan Rakyat, tetapi apabila isukuota bukan-Melayu di UiTM dimainkan, tiba- parti Gerakan memberi reaksi berbeza apabila mereka berura-ura mahu keluar daripada BN. Bukankah isu ini seolah-olah telah backfire kepada mereka sendiri?

Dr Dzulkefly

Analisis politik dan sosial bukanlah seperti analisis mekanikal yang mempunyai jawapan tunggal dan lazimnya bersifat muktamad. Dalam dinamik politik, kita harus faham bahawa pencetus aksi juga perlu bertindak balas terhadap aksi pertama yang dicetuskannya itu. Ini kerana aksi pertama tadi akan menarik pelbagai reaksi dan faktor baru apabila ia berkembang dan keadaan ini menuntut reaksi-reaksi baru pula, hatta daripada pencetus pertamanya. Inilah dinamika proses politik. Justeru, kita seharusnya sentiasa peka dan waspada terhadap semua perkembangan yang berlaku, sekali gus bijak mengatasi keadaan seperti itu.

Dalam konteks isu forum Majlis Peguam misalnya. Mungkin majlis itu sendiri yang membawa isu tersebut dan mereka tidak berniat jahat terhadap Pakatan Rakyat, tetapi suasana politik yang wujud kini seolah-olah telah dimanipulasi untuk menghukum gabungan parti-parti pembangkang melalui isu berkenaan.  Isu-isu sebegini sememangnya bersifat gergaji bermata dua. Menyorong mungkin buruk untuk kita, tetapi menarik pula baik. Begitu juga sekiranya sesuatu isu itu baik kepada kita, tetapi tidak baik untuk orang India atau Cina misalnya, maka bukankah sudah tiba masanya untuk kita keluar daripada perhitungan dan kepompong politik lama yang bersifat eksklusif dan melihat serta menilai sesuatu isu dari perspektif luas yang lebih teliti. Kita ambil contoh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang dikatakan menjadi pencetus polemik Majlis Peguam baru-baru ini. Perkara ini merujuk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil.  Sebelum ini mungkin tidak terlintas di fikiran kita kemungkinan seorang suami atau isteri bukan-Islam memeluk agama Islam secara bersendirian, tanpa disertai oleh pasangan mereka. Tetapi kini ia berlaku dan turut membawa bersama-samanya pelbagai isu undang-undang yang kompleks, baik di pihak Mahkamah Syariah maupun sebaliknya. Kerumitan keadaan ini telah diperburukkan lagi oleh kelemahan atau kekaburan peruntukan undang-undang sedia ada mengenai isu-isu berkait, selain sifat emotif isu itu sendiri.

Jadi kami merumuskan bahawa isu ini adalah isu pentadbiran undang-undang semata-mata, bukannya isu kedudukanIslam atau undang-undang dan Mahkamah Syariah, apatah lagi sebagai isu akidah. Justeru, tidak salah jika ia dibincangkan, hatta secara terbuka sekalipun dan kita pula tidak perlulah bersikap keras dan emosional tanpa usul periksa.

Saya percaya, andainya perkara itu dapat dibincangkan yang baik, kita akan berpeluang menerangkan keadilan undang-undang Islam atau mengapa murtad itu tidak baik dan sebagainya. Kita juga dapat menjelaskan betapa PerdanaMenteri, yang pernah berjanji untuk meminda undang-undang yang kabur itu, tidak berbuat demikian kerana mahu terus menggunakannya sebagai senjata politik kerajaan.

Siasah

Kita sudah ada Mahkamah Sivil dan Syariah yang selari sifatnya. Apa yang perlu dilakukan ialah memastikan ia berjalan dengan baik serta diberikan peruntukan perundangan yang lebih baik supaya ia tidak bertembung. Sekiranya berlakujuga ‘pertembungan’ itu, maka masalah berkenaan harus diatasi dengan cara yang baik juga. Seperti yang Dr sebutkan tadi, sekarang ini seolah-olah berlaku pertembungan fikrah dalam PAS, satu di sebelah sini dan satu lagi di sebelah sana. Jika ini benar, apakah pendekatan yang harus diambil untuk mengatasinya?

Dr Dzulkefly

Saya telah katakan kepada media dan juga di dalam Muktamar bahawa perbezaan pandangan ini adalah salah satudaripada kekuatan PAS itu sendiri. Dengan sikap optimis, saya amat percaya bahawa kita mampu mengurusnya dengan baik. Selama ini kita pernah mengalami pelbagai kemelut dalaman yang lebih besar dan dengan tertibnya kita Berjaya mengatasinya satu persatu. Kita berbeza pandangan, malah mungkin juga bertegang leher, tetapi akhirnya kita kembali kepada semangat ukhuwah dan setiakawan lalu merapatkan saf kita. Lagi pun isu ini bukanlah isu pokok. Ia adalah isu yang boleh diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat sahaja.

Dalam hal ini, saya merujuk kepada Imam As Shatibi. Beliau ada menulis tentang dua peristiwa pada zaman Rasulullah SAW yang boleh dijadikan petunjuk kepada kita hari ini. Baginda SAW dikatakan berhajat melakukan dua pekara, tetapi tidak melakukannya kerana mengambil kira risiko perkara-perkara tersebut kepada perjuangan dan dakwah Islam ketika itu.  Dalam kes pertama, Rasulullah SAW mahu menjatuhkan hukuman bunuh ke atas orang-orang munafik yang senarainya ada pada baginda. Rasulllah SAW amat maklum bahawa golongan munafik ini telah memporak perandakan keadaan, memecahkan saf umat Islam dan ketika banyak peperangan seperti Uhud menjadi penghalang kepada kelancaran gerakan tentera baginda. Namun, Rasulullah SAW tidak bertindak membunuh mereka.

Kedua, Rasulullah SAW tahu bahawa Kaabah ketika itu tidak berdiri di atas asas asal seperti yang dibina oleh NabiIbrahim AS. Perubahan asas itu berlaku selepas terjadinya banjir besar di Mekah. Baginda berhajat untukmengubahnya, malah memberitahu Saiditina Aisyah tentangnya, dengan bersabda; “Wahai Aisyah, andainya aku tidak takut kaummu akan kembali kepada kekufuran kerana mereka baru sahaja memeluk Islam, nescaya akanku kembalikan Kaabah ini ke atas asas yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim dahulu”.

Melalui contoh di atas, Imam Al Shatibi mengisyaratkan kepada kita supaya sentiasa menghitung, menilai, mengambil kira impak atau kesan daripada perbuatan dan tindakan kita sebagai sesuatu yang dituntut oleh Syarak (aslun syar’iyyun muktabaraun). Mengambil kira impak baik-buruknya ialah tuntutan maslahah yang muktabar dalam syariat.

Kemenangan dalam PRU 2008 diperolehi di atas kejayaan kita meyakinkan orang Cina dan India serta pengundi lainamnya tentang dasar, imej dan pendekatan inklusif PAS. Kita berjaya meyakinkan mereka bahawa perjuangan dan parti kita adalah untuk keadilan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum atau keturunan. Kita juga telah menolak ketakutan mereka kepada ‘Negara Islam’ dengan mengemukakan manifesto baru bertajuk Negara Berkebajikan, selain berjaya membawa pendekatan yang bersifat substantif (isi dan penghayatan), bukannya istilah atau konsep, tetapi lebih bertumpu kepada amalan Islam itu sendiri.

Hasilnya ialah kejayaan besar dalam PRU itu. Namun begitu, seperti mana-mana kemenangan pilih raya, ia adalahkemenangan bersyarat dan kita tidak boleh sama sekali bertindak sewenang-wenang ekoran kemenangan itu. Kita harus peka dan bersikap bertanggungjawab terhadap harapan, kehendak, keadaan dan sensitiviti semua pengundi, sama ada mereka Islam atau bukan-Islam. Justeru, walau apapun wawasan atau kehendak maupun niat kita, ia harus dipacu dalam kerangka realiti politik tersebut.

Jika dilihat dari sudut ini, pendekatan bermuzakarah dengan Umno jelas memberi kesan negatif kepada perjuangan kita.Walaupun kita amat sedar tentang kebimbangan orang Islam-Melayu, malah ahli-ahli kita sendiri, tentang isu-isu Islam dan sebagainya itu, namun, seperti Rasulullah SAW dalam dua kisah di atas, kita tidak boleh bertindak tergesa-gesa atau emosional sehingga meruntuhkan asas kejayaan yang telah kita bina selama ini. (Malah, dalam kes Rasulullah SAW, baginda tidak bertindak mengubah asas Kaabah sehingga ke akhir hayat baginda.)

Andainya ini berlaku, maka semua usaha kita selama ini akan menjadi sia-sia. Cita-cita dan kemenangan yang telah kita capai ini pun akan runtuh berkecai dan kita harus bermula semula dari alif. Apakah kita mahu ini berlaku?   Kita telah menerima Islam yang syumul, kita telah menolak dan menggempur pemikiran asabiyah, kita telah memulakanagenda memasyarakatkan PAS, kita telah meneroka pendekatan engagement dan bridge building, kita juga telahmenawarkan parti kita dan keadilan Islam kepada semua, maka sewajarnyalah kita berpegang dan meneruskan semua komitmen itu sepenuhnya.

Selain itu, kita juga tidak harus membiarkan kebimbangan, keraguan, ketakutan atau mungkin juga pujuk rayumemalingkan muka dan pendirian kita daripada usaha, ikrar dan komitmen yang telah kita ambil serta bina selama ini. Kita kini laksana rama-rama yang telah dewasa. Biar betapa bahaya atau menakutkan dunia di luar kepompong sekalipun, namun kita harus gagahinya jua, kerana kembali ke belakang bererti mati. Dalam realiti kita hari ini, surut ke belakang bermakna melakukan harakiri politik. Mundur bererti membunuh potensi diri, malah potensi Islam itu sendiri. Sebagai kesimpulan, dalam isu muzakarah dengan Umno ini, saya menyokong sepenuhnya pandangan Tuan Guru Nik Abd Aziz, iaitu kalau kita hendak berjumpa sekalipun, biarlah ia sekadar  muqabalah sahaja dan perbincangannya pula terikat kepada persoalan aqidah dan dakwah semata-mata.

____________________________________________

Wacana di atas dipetik dengan ubah suai daripada wawancara penulis dengan akhbar Siasah, 24-30 Ogos 2008 (Bil112).

About these ads
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49,563 other followers